KECERIAAN peserta memeriahkan program jelajah gunung.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Program Xpedisi Pendakian Bersama Brahim’s memulakan cabaran menakluk empat gunung dengan mendaki puncak Nuang di Hulu Langat, Selangor baru-baru ini, sebelum meneruskan misi menjejak tiga lagi gunung iaitu Gunung Ledang di Johor, Gunung Bujang di Perak dan kemuncaknya, Gunung Rinjani di Indonesia pada tahun depan.

Ekspedisi pertama 50 pendaki terdiri daripada ahli kelab dan komuniti rekreasi dari seluruh negara termasuk kakitangan syarikat itu bertujuan meraikan ulang tahun ke-30 jenama makanan itu.

Ia juga sebagai memenuhi tanggungjawab sosial terhadap kesedaran alam sekitar menerusi misi membawa turun sekurang-kurangnya 1,000 kilogram sampah dari semua gunung yang didaki.

Lebih menarik lagi, pendaki yang mengikuti ekspedisi Nuang kali ini tidak perlu gusar mahupun bimbang dengan masalah terpaksa ‘mengikat perut’ ketika mendaki kerana setiap peserta dibekalkan Pek Makanan Kembara Sehari atau ‘Adventure Pack One Meal’ set daging.

Buat mereka yang selalu mengembara mahupun mendaki semestinya arif dengan situasi sukar termasuklah kekangan membawa keperluan seperti perkakasan dapur dan bahan makanan. Menerusi produk Brahim’s, tugas memasak menjadi sesuatu paling mudah dilakukan tanpa mengira waktu mahupun tempat.


SYUKRI bersama Faathir mengadakan demo penyediaan makanan produk Brahim’s.

Tidak mengambil masa terlalu lama dalam penyediaan, pek segera Brahim’s hanya memerlukan tempoh tidak sampai 10 minit sebelum dihidangkan. Dalam set menu terbabit, mereka dibekalkan nasi goreng kampung, nasi putih bersama daging masak hitam, bubur pulut hitam, nasi putih dan kari daging. Selain itu, biskut dan jem serta keperluan lain seperti kopi, teh, krim dan gula turut dibekalkan.

Pendaki dari Hiking.my Mohd Syukri Mohd Ashmir Wong, sempat membuat demonstrasi masakan menerusi slot ringkas sebelum pendakian berkongsi keterujaan mengenai pengalamannya bersama produk Brahim’s.

“Kalau dulu saya dan rakan Che Faathir Ilyas Ariffin terpaksa memikul bebanan berat untuk perkakasan dapur mahupun barang makan. Malah, kami pernah angkut batu lesung semata-mata bagi memudahkan kami memasak di kem.

“Kini dengan adanya produk Brahim’s, pengalaman memasak di hutan menjadi lebih mudah. Hanya didihkan air, rendamkan pek makanan itu selama beberapa minit dan ia sedia untuk dimakan. Saya juga tidak perlu mengorbankan masa atau bersusah payah untuk memasak kerana ada pilihan lebih mudah, selain peluang menikmati hidangan enak ketika mendaki.


PESERTA bersemangat memulakan jelajah gunung.

“Ada sebahagian produk Brahim’s ini boleh dimakan tanpa dimasak dan ia sangat berguna untuk kami apabila tiba di kawasan sukar mendapatkan bekalan air ataupun sejuk seperti gunung bersalji,” katanya.

Menurut Pengerusi Eksekutif Kumpulan Brahim’s Dewina Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi, dia tidak menolak pek makanan kembara ini bakal menjadi produk ‘trending’ selain mampu memenuhi pelbagai kumpulan sasaran.

“Semua 41 produk Brahim’s melepasi piawaian negara mempunyai kawalan ketat terhadap produk makanan seperti Jepun dan Australia. Mereka yang gemar mengembara tidak akan berdepan dengan isu itu makanan dibuang dan sebagainya apabila membawa produk kami.

“Selain kaki melancong, kumpulan pendaki mahupun mereka yang gemarkan aktiviti luar, produk kami antara pilihan terbaik. Sebagai contoh ‘Pek Kembara’ antara pek terbaru kami yang ditawarkan dalam tiga pilihan iaitu set daging, set ayam dan set sekali makan. Pek istimewa ini hanya boleh dibeli di Brahim’s Shoppee di Bandar Baru Bangi.


MERAKAM detik manis di pintu masuk Gunung Nuang.

“Untuk kumpulan pertama program Xpedisi Pendakian Gunung Bersama Brahim’s, lebih 50 pek kembara ini diagihkan. Pek makanan yang ringan dan mudah dibawa ini tidak memerlukan banyak ruang. Memadai mereka membawa keperluan seperti ‘mass tin’ untuk merendam makanan dalam air mendidih beberapa minit, pek tahan lasak itu boleh dibuka lalu terus dimakan,” katanya.

Kata Ibrahim lagi, pihaknya teruja dapat menganjurkan aktiviti ini sebagai satu sumbangan sosial, di samping mendekati komuniti dan ia adalah langkah penting dalam pemeliharaan kebersihan kawasan gunung.

“Mereka tidak saja mendaki bagi tujuan kesihatan mahupun aktiviti liburan semata-mata, sebaliknya bertindak menjayakan misi penting iaitu mengutip sampah di laluan mendaki mahupun menuruni gunung. Sampah dibawa turun dikumpul atau dikategorikan sebelum dikitar semula.

“Bagi Brahim’s, kami mahu dilihat sebagai peneraju produk makanan segera yang mesra dengan pengamal gaya hidup aktif seperti mereka yang menyertai aktiviti pendakian, merentas hutan, pacuan empat roda dan banyak lagi,” katanya.

Bagi mereka ingin mengetahui lebih lanjut mengenai produk berkenaan boleh melayari laman www.brahimsfoodisforsharing.com


PESERTA menyusuri laluan mendaki.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 3:06 AM