AZLAN (tengah) bersama isteri dan cef Kaffe Kop di SACC Mall.
Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@hmetro.com.my


Ruang makan yang santai dan selesa membuatkan pengunjung Kaffe Kop di SACC Mall, Shah Alam, Selangor seakan-akan berada di rumah sendiri.

Manakan tidak, sambil menikmati hidangan Barat yang enak pada harga berpatutan, pengunjung boleh menjamu mata dengan aneka hiasan dinding yang tidak jemu dipandang.

Pemiliknya, Azlan Arshad berkata, sejak dibuka pada Mac lalu sambutan daripada pelanggan amat menggalakkan terutama pelajar dan pekerja pejabat.

“Kop diambil daripada perkataan Belanda bermaksud secawan kopi. Di sini kami menawarkan variasi makanan Barat seperti sandwic, salad, pai, pasta, kek, wafel dan sebagainya.

“Di sini juga tempat paling sesuai bagi penggemar kopi kerana kami menyediakan kopi arabica 100 peratus berkualiti tinggi,” katanya ketika ditemui Metro Ahad baru-baru ini. Antara kopi yang terdapat di Kaffe Kop seperti espresso, Americano, latte, cappucino, mocha, matcha latte, ice black coffee dan sebagainya.

Menariknya, di Kaffe Kop, semua hidangan hanya menggunakan bahan berkualiti yang diimport bagi mengekalkan rasa dan kepuasan untuk pelanggan selain mementingkan kualiti bahan mentah.

“Kebanyakan menu di sini dimasak sendiri oleh isteri saya. Isteri adalah tukang masak terbaik dan dia amat cerewet mengenai bahan mentah dan kualiti rasa.

“Misalnya hidangan paling laris kami iaitu New York Cheesecake yang dijual sedikit berbeza dengan harga di kedai lain. Ini kerana isteri sangat menitikberatkan soal kualiti bahan dan hanya menggunakan bahan berkualiti tinggi. Pelanggan juga dapat merasai kelainannya dan sentiasa ulang memesan New York Cheesecake kerana rasanya berbeza dengan yang dijual di kedai lain.

“Dia juga sentiasa mencipta resipi baru dan selalu mencuba bagi mewujudkan kelainan. Setakat ini kami menerima banyak komen positif daripada pelanggan manakala komen negatif pula diambil sebagai cabaran bagi memperbaiki kelemahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 2:34 PM