TERTARIK dengan kepelbagaian kaum dan etnik di Malaysia.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Menyaksikan gelagat orang utan di Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Sabah, pada 2005, menjadi satu-satunya memori Mei Yonemura mengenai Malaysia.

Tertarik dengan keunikan budaya negara di rantau Asia Tenggara, gadis berusia 20 tahun ini memilih untuk ke Malaysia bagi menyelami keistimewaan itu sendiri.

Kagum dengan keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia, Mei sering tertanya-tanya apakah rahsia di sebalik sifat toleransi penduduk tempatan.

1. Kali pertama anda berkunjung ke Malaysia dan tujuannya?

Percutian keluarga ke Sabah ketika saya berusia lapan tahun menjadi kunjungan kali pertama saya ke Malaysia.

Oleh kerana saya masih kecil ketika itu, tidak banyak memori yang saya ingat kecuali kunjungan ke Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok.

Sebenarnya menerusi percutian itu, saya memiliki persepsi yang sangat positif mengenai Malaysia.

Sebagai mahasiswa pertukaran jurusan pelancongan, saya perlu memilih universiti negara asing untuk menyempurnakan pengajian.

Meskipun banyak pilihan universiti, saya memutuskan untuk datang ke Malaysia kerana tertarik dengan budaya negara Asia Tenggara berbanding benua Amerika mahupun Eropah.

Selain itu, penggunaan bahasa Inggeris di Malaysia juga meluas, jadi ia memberi kelebihan kepada saya untuk menguasai bahasa berkenaan dan bertutur dengan lebih yakin.

2. Sejauh mana pengetahuan anda mengenai Malaysia sebelum ke sini?

Permulaannya sukar untuk saya membezakan Malaysia dan Singapura kerana kedudukan geografinya yang berdekatan.

Banyak perkara yang berlaku di sekeliling saya, sukar untuk saya fahami, namun lama-kelamaan saya mempelajarinya secara perlahan-lahan.

3. Cabaran yang anda lalui sepanjang berada di Malaysia?

Baru-baru ini, saya mengalami keracunan makanan dan difahamkan doktor, kemungkinan saya tidak biasa dengan penyediaan dan penyajian makanan di Malaysia. Namun begitu, saya sangat menggemari makanan Malaysia.

Berbanding negatif, saya mengambil pendekatan positif kerana rakyat Malaysia sangat mesra dan mudah untuk saya menyesuaikan diri.

Oleh kerana saya masih mempelajari bahasa Inggeris, sesi komunikasi dengan penduduk tempatan tidak pernah sukar kerana mereka bersifat lebih memahami.

Jadi, ia bonus kepada saya menjadi lebih yakin untuk berbahasa Inggeris.

4. Pengalaman menarik ingin dikongsikan?

Baru-baru ini, saya dan rakan berpeluang bercuti ke Cameron Highlands selama tiga hari. Cameron Highlands memberi ketenangan kepada saya.

Cuaca yang sejuk dan nyaman, dipenuhi ladang teh dan strawberi membuatkan saya benar-benar seronok.

Saya juga baru pulang daripada percutian di Kuching, Sarawak dan ia memberi kenangan menarik buat saya.

Saya dan rakan berpeluang menyaksikan persembahan tradisional pelbagai etnik di Sarawak dan merasai pengalaman di rumah panjang.

5. Destinasi pilihan anda?

Kuching, Sarawak.

6. Makanan tempatan kegemaran anda?

Kuetiau goreng kerana ia seperti mi tradisional Jepun, mi udon.

Saya juga menyukai roti sardin kerana rasanya yang enak dan harga murah.

7. Malaysia pada mata anda?

Sebagai pelajar, saya berasakan Malaysia negara terbaik dalam menawarkan fasiliti pendidikan malah ruang untuk memperbaiki kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris juga luas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 2:38 PM