LOPAK air besar perlu ditempuh.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Berbanding jalan lumpur dan lopak digenangi air, sebahagian besar peserta menyifatkan trek Kejohanan Basikal MPAJ/TEKAS MTB XCO Race & Fun Race 2017 yang ditambak pasir satu laluan yang lebih memenatkan.

Struktur pasir yang longgar selain permukaan mahupun ketebalan tanah tidak sekata, memaksa sebahagian peserta menguatkan kayuhan tatkala mendekati garisan penamat. Namun begitu, laluan itu memberi pengalaman baru kerana kepelbagaian trek terpaksa dihadapi peserta dalam perlumbaan basikal.

Menurut pemenang Kategori Junior Umar Hasbullah, strategi diatur iaitu menempatkan diri dalam kelompok lima teratas ketika awal pusingan membuatkan dia berupaya memecut menyaingi peserta lain pada pusingan terakhir.

“Disebabkan kali ini trek untuk Junior membabitkan laluan berbeza daripada kategori Lelaki Elit, saya mempunyai kelebihan menyaingi pesaing sebaya. Namun, tidak pula memandang rendah kerana mereka juga memberi saingan sengit sehingga ke garisan penamat.

“Ketika pusingan akhir saya terpaksa mengerah kudrat sedaya upaya untuk membolehkan saya bergelar pemenang. Mujurlah saya sering berlatih berbasikal sejauh 150 kilometer (km) seminggu membolehkan stamina bertahan sehingga trek terakhir,” katanya.

Menurut pengarah teknikal kejohanan, Mustaffa Abu, perlumbaan yang masuk tahun ketiga itu menyaksikan pengkelasan peserta mengikut kelas masing-masing membuka peluang kemenangan kepada muka baru.

“Keseluruhan bagi perlumbaan kali ini terdapat 17 kategori iaitu enam kategori elit serta 11 kategori untuk novis dan ‘pushbike’. Satu pusingan perlumbaan lebih kurang jarak tiga kilometer dan elit perlu menamatkan perlumbaan dalam lima pusingan. Manakala kategori ‘novis’ pula, peserta perlu sempurnakan kayuhan dalam tiga pusingan. Meskipun lokasi kedua-dua peringkat peserta di trek basikal sama, laluan berlainan mengikut tahap kesukaran,” katanya.

Perlumbaan ini antara kejohanan basikal lasak yang dinanti-nantikan peminat sukan itu sekitar Ampang dan Lembah Klang kerana treknya mencabar selain sering menjadi lokasi latihan dalam kalangan pelumba basikal.

Penganjur utama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), puas hati perlumbaan kali ini mendapat sambutan sangat menggalakkan dengan 400 penyertaan berbanding 300 sasaran awal.

Yang Dipertua MPAJ Abd Hamid Hussain berkata, lebih menarik dalam perlumbaan kali ini ialah lima pemenang setiap kategori menerima hadiah wang selain trofi dan sijil penghargaan.

“Jumlah keseluruhan hadiah wang sebanyak RM9,000 menanti pemenang. Tempat pertama hingga kelima menerima hadiah wang dalam urutan RM300, RM200, RM150, RM100 dan RM70.

“Ini sebagai galakan buat penduduk Ampang amnya dan peserta sekitar Lembah Klang mengenai pentingnya mengamalkan gaya hidup sihat seperti berbasikal,” katanya.

Beliau turut memberi penghargaan kepada Team Kayuh Santai (TEKAS) dan penaja kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 2:40 PM