PEMANDANGAN bandar Osaka, Jepun dari atas ‘Tempozen Ferris Wheel’.
Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my

Budaya hormat-menghormati dan rasa rendah diri yang tinggi dalam kalangan masyarakat Jepun amat menarik perhatian penulis apabila berpeluang menjejakkan ke negara matahari terbit itu baru-baru ini.

Pada mulanya tidak pernah terasa hendak menjejak kaki ke sana, apatah lagi teringat peristiwa nenek moyang yang bercerita mengenai kekejaman tentera mereka ketika menakluk Tanah Melayu suatu ketika dulu.

Penceritaan itu pernah memberi kesan hingga pernah ada rasa takut terhadap rakyat negara itu yang wajah mereka rata-ratanya kelihatan tidak mudah mesra.

Tanggapan itu meleset selepas berkunjung ke sebuah kota terbesar di Jepun iaitu Kansai membabitkan daerah Kyoto, Nara, Kobe dan Osaka bersama rakan, baru-baru ini.

Uniknya adalah budaya hormat menghormati mereka setiap kali bertemu seseorang sangat tinggi, biarpun tidak pernah mengenali antara satu sama lain.


KEADAAN ketika menaiki kereta api selepas mengunjungi daerah Kansai, Jepun membabitkan bandar Osaka, Kyoto, Kobe dan Nara.

Mana tidaknya, penulis yang menginap di sebuah kediaman berjiran dengan orang Jepun dan setiap kali berjalan untuk keluar ke stesen kereta api pasti akan mendapat tunduk hormat daripada penduduk negara itu.

Meskipun, mereka seolah-olah sibuk untuk ke tempat kerja, apabila mata bertentang sahaja secara automatik senyuman serta tunduk hormat dilemparkan kepada penulis, sekali gus merasakan Jepun adalah tempat paling selamat untuk dilawati berikutan adab mereka begitu dikagumi.

Perkara itu tidak dapat dinafikan hingga bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad kagum dengan negara berkenaan hingga wujudnya ‘Dasar Pandang ke Timur’ yang bukan sahaja maju dari segi teknologi, tetapi mempunyai kelas peradaban serta nilai murni terbaik di dunia.

Kebaikan masyarakat di sana menjadikan percutian penulis yang memilih konsep kembara beg galas menjadi serba-serbinya mudah apabila kerap mendapat bantuan biarpun masyarakat Jepun tidak pandai berbahasa Inggeris.


PELANCONG tidak melepaskan peluang memberi rusa jinak makan ketika mengunjungi bandar Nara.

Menariknya, hanya menggunakan isyarat, mereka bersungguh-sungguh membantu supaya kami tidak sesat.

Namun, perlu diingatkan percutian beg galas turut memerlukan persiapan rapi apatah lagi kos di Jepun terlalu tinggi dan memerlukan pengembara mengkaji terlebih dahulu keadaan sesebuah geografi negara itu supaya percutian tidak terganggu dan banyak membuang masa.

Lebih merumitkan, penggunaan pelbagai pas pengangkutan ditawarkan kerajaan Jepun kepada pelancong menyukarkan penulis membuat pilihan dan bimbang sekiranya tersilap akan merugikan.

Akhirnya, penulis bersama rakan menggunakan pas pengangkutan dikeluarkan syarikat JR selama tiga hari untuk ke bandar besar manakala selebihnya menggunakan pas dan kad prabayar syarikat swasta apabila mengunjungi bandar berdekatan dengan tempat penginapan kami.


ANTARA pas pengangkutan yang ditawarkan kerajaan Jepun kepada pelancong asing.

Pas pengangkutan digunakan penulis untuk ke bandar Kyoto, Nara dan Kobe adalah ‘JR Kansai Area Pass’ berharga RM212 untuk tiga hari, kemudian di Osaka penulis menggunakan ‘Osaka Amazing Pass’ berharga RM92 sehari.

Pada hari terakhir menggunakan kad prabayar Icoca berharga RM140 termasuk tambah nilai menjadikan pengangkutan kereta api dan subway sahaja sekitar RM450 untuk enam hari.

Kos itu mengikut jadual perjalanan penulis dan sekiranya anda ingin meneroka seluruh pelosok Kansai atau daerah Jepun, penggunaan pas lain diperlukan. Itu menyebabkan kos pengangkutan meningkat terutama bagi yang ingin merasai pengalaman menaiki kereta api laju ‘Shinkansen’.


PENULIS (kiri) bergambar bersama rakan di mercu tanda bandar Kobe.

Jika anda ingin mendapatkan harga lebih murah, disyorkan membuat belian pas pengangkutan terbabit di luar Jepun iaitu melalui syarikat pelancongan berdaftar di negara kita dan mereka menawarkan perkhidmatan penjualan pas berkenaan.

Penulis turut menggunakan perkhidmatan bas dan menyewa basikal kerana mahu kelainan serta merasai budaya kehidupan orang Jepun selain menghayati panorama menakjubkan bumi Jepun secara lebih dekat.

Antara lokasi pelancongan dikunjungi penulis ketika berada di Kyoto adalah ‘Arashiyama Bamboo Groove’, ‘Fushimi Inari Taisha’ dan merasai pengalaman menaiki kereta api lama iaitu ‘Sagano Romantic Train’.


SAGANO Romantic Train iaitu kereta api berkonsepkan tradisional yang beroperasi selama 26 tahun mudahkan pelancong mengenali Arashiyama Bamboo, Kyoto.

Ketika berada di Kobe pula, penulis sempat mengunjungi Masjid Kobe, Pelabuhan Kobe, Menara Kobe yang menjadi mercu tanda kota itu dan beberapa gedung pusat beli-belah terkenal kemudian di Nara, kami melawat Taman Nara untuk memberi makanan kepada rusa jinak di situ.

Dua hari sebelum pulang ke tanah air, penulis menghabiskan masa di daerah Kansai dengan mengunjungi bandar Osaka sepenuhnya untuk meneroka tempat tarikan di kota itu, selain ia antara lokasi terbesar membeli cenderamata kepada ahli keluarga dan sahabat.


PENULIS bergambar selepas menaiki Sagano Romantic Train.

Di Osaka pula, tempat menarik perlu dikunjungi adalah sebuah istana dibina lebih empat abad, Tempozen Ferris Wheel, menaiki kapal Santa Maria dan mengelilingi bandar Dotonbori dan Shinshaibaishi yang popular dengan jualan barangan elektronik dan jam G Shock.

Menariknya, tempat Osaka boleh dilawati secara percuma dengan menggunakan Osaka Amazing Pass yang hanya ditawarkan kepada pelancong.


DOTONBORI di Osaka jadi tumpuan pelancong membeli cenderamata untuk keluarga dan kenalan rapat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 3:24 AM