GAMBAR kiri, bersama ibu angkat di Johor. Tertarik dengan Islam sejak berusia lapan tahun.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Pembacaan kisah wanita Palestin mengandung luar nikah dan dibakar ahli keluarganya bagi menjaga nama serta kehormatan mencetuskan rasa ingin tahu dalam diri Shiho Kuwahara mengenai Islam yang sebenarnya.

Seiring dengan peningkatan isu itu, gadis berusia 20 tahun ini mula membuat kajian sendiri menerusi buku, majalah mahupun membaca terjemahan al-Quran dalam bahasa Jepun.

Namun sebahagian perkataan Arab sukar diterjemahkan ertinya dalam bahasa Jepun, membuatkan ilmu Shiho ‘tersekat’.

Apabila tiba di Malaysia dan memiliki teman Muslimah, Shiho mengambil pendekatan untuk belajar mengaji menggunakan bahan Iqra’.

1. Kali pertama berkunjung ke Malaysia dan tujuannya?

Saya berada di Malaysia sejak tiga bulan lalu. Tujuan kedatangan saya ke sini menyempurnakan kursus pengajian di Universiti Malaya selama enam bulan.

Menyambung pengajian dalam bidang berkaitan isu antarabangsa dan pembangunan, saya memiliki dua pilihan sama ada Malaysia mahupun Indonesia.

Saya memilih Malaysia kerana lebih mudah untuk saya berkomunikasi dan memahami sesi pembelajaran yang lebih mengutamakan bahasa Inggeris.

Tambahan pula, saya ingin melihat perspektif sebenar negara membangun berdasarkan pengalaman berada di Malaysia.

Selain itu, saya juga tertarik dengan agama Islam yang menjadi agama rasmi negara ini.

Saya mengenali Islam sejak berusia lapan tahun dan rasa ingin tahu itu seakan membuak-buak apabila saya membaca sebuah novel berjudul ‘Burned Alive’ berkaitan penindasan dialami seorang wanita Palestin dilakukan keluarganya.

2. Sejauh mana pengetahuan anda mengenai Malaysia sebelum ke sini?

Malaysia negara membangun dan Islam adalah agama rasmi.

Negara ini didiami masyarakat pelbagai bangsa mahupun etnik. Selain itu, saya juga mengetahui Malaysia atau Tanah Melayu menerusi sejarah penjajahan Jepun.

3. Cabaran yang anda lalui sepanjang berada di Malaysia?

Cabaran utama berkaitan dengan masa. Di sini, agak ‘lambat’ berbanding di Jepun yang sememangnya menepati masa dalam apa juga urusan termasuk kelas.

4. Pengalaman menarik ingin dikongsikan sepanjang berada di Malaysia?

Saya pernah menyertai program kelas ke Taman Negara Royal Belum selama dua hari dan berpeluang berinteraksi dengan masyarakat Orang Asli di sana.

Meskipun ada kekangan bahasa untuk berkomunikasi, saya seronok dapat melihat kehidupan komuniti pribumi itu dari dekat.

Saya juga pernah ke Johor bagi program anak angkat dan memiliki keluarga angkat di sana.

Selain belajar mengopek kelapa yang dikenali sebagai minuman buahan eksotik di Jepun, saya juga berpeluang menyaksikan persembahan kuda kepang. Ia satu pengalaman yang sangat berharga.

5. Lokasi kegemaran anda?

Universiti Malaya kerana di sini saya menuntut ilmu berkaitan isu dialami negara membangun daripada perspektif berbeza, mengenali negara lain di

Asia Tenggara dan bergaul dengan rakan teman baru yang berlainan latar belakang.

6. Makanan tempatan kegemaran anda?

Nasi ayam Hainan, mi wantan ayam dan air kelapa.

Di Jepun, air kelapa dianggap eksotik dan harganya sangat mahal. Di sini saya boleh menikmatinya pada bila-bila masa.

7. Malaysia pada mata anda?

Sebagai negara yang dikategorikan membangun, Malaysia mempunyai sistem tersendiri.

Malaysia juga sesuai bagi pelajar yang berhasrat mempelajari pelbagai bahasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 3:13 AM