MENGGEMARI durian.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Sering berkongsi gambar makanan menarik menerusi Instagram bersama keterangan ditulis dalam bahasa Melayu termasuk penggunaan bahasa pasar, menjadi tarikan utama pemuda berasal daripada United Kingdom (UK) ini.

Menetap di Malaysia hampir lima tahun, Rhys William mengakui percutian jangka panjang ini tidak pernah dirancang sebaliknya tarikan kuat Malaysia membuatkan dia meneruskan kehidupan di tanah asing.

Pada Disember 2013, lelaki ini memperuntukkan masanya melakukan misi peribadi, menjelajah ke seluruh Semenanjung Malaysia dan kesempatan itu membuka mata Rhys menyaksikan keunikan bumi tercinta ini pada sisi yang berbeza.

1. Kali pertama anda berkunjung ke Malaysia dan tujuannya?

Percutian bersama rakan selama dua minggu di Malaysia pada Ogos 2012 menjadi kunjungan pertama saya ke negara ini.

Dalam tempoh itu, percutian singkat itu menjadi terlalu ‘tergesa-gesa’ kerana seboleh-bolehnya kami ingin mengunjungi semua destinasi menarik di Malaysia termasuk Kuala Lumpur, Pulau Tioman, Taman Negara dan sekitar Selangor.

Sebenarnya saya tidak puas menerokai Malaysia ketika itu dan merancang melakukan percutian kedua.

Setahun kemudian, saya datang lagi ke Malaysia dan perancangan awalnya, saya ingin berada di sini selama dua bulan. Namun kini, sesudah lebih empat tahun, saya masih ‘bercuti’ di Malaysia.

2. Sejauh mana pengetahuan anda mengenai Malaysia sebelum ke sini?

Sebelum ke Malaysia, terlebih dulu saya ke Brunei pada 2008, maka saya tahu sedikit mengenai iklim panas dan lembap di negara Asia Tenggara. Selain itu, penceritaan pengalaman rakan-rakan yang pernah bercuti di Malaysia memberi sedikit gambaran kepada saya.

Bagi saya, Malaysia negara yang menawarkan kepelbagaian terutama dari segi makanan yang menyelitkan banyak elemen dan budaya masyarakat harmoni.

3. Cabaran yang anda lalui sepanjang berada di sini?

Meskipun kebanyakan rakyat tempatan mampu bertutur dalam bahasa Inggeris, ia sebenarnya menjadi cabaran buat saya untuk mempelajari dan berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

Saya tertarik untuk mempelajari bahasa Melayu tetapi saya tidak pernah menghadiri mana-mana kelas mahupun kursus bagi mempertajamkan skil bertutur dan menulis dalam bahasa ini.

Saya cuma belajar menerusi pergaulan harian malah blog saya, matsallehcarimakan, menjadi medan untuk saya mempraktikkan penulisan dalam bahasa Melayu.

Oleh kerana saya adalah ‘mat salleh’, maka kebanyakan orang lebih senang untuk berbicara dalam bahasa Inggeris. Saya juga memiliki teman tempatan dan kami bercakap dalam bahasa Melayu.

Dalam tempoh dua tahun berada di sini, saya fasih bercakap, menulis dan membaca dalam bahasa Melayu.

4. Pengalaman menarik ingin dikongsikan sepanjang berada di Malaysia?

Oleh kerana saya mempunyai blog peribadi, saya sering berkongsi pengalaman di Malaysia termasuk destinasi menarik dan tempat makan yang enak menerusi rakaman video.

Rupa-rupanya ada yang tertarik dengan video yang saya hasilkan, lantas menawarkan peluang untuk menghasilkan program ‘Mat Salleh Cari Makan’.

Sebagai percubaan, saya menghasilkan video reviu nasi lemak di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada awal 2017. Nyata, percubaan itu berjaya apabila mendapat perhatian satu juta penonton.

Terbaru, saya baru pulang dari ‘kampung’ (United Kingdom) dan sempat merakamkan sembilan episod ‘Mat Salleh Cari Makan UK’ bertujuan memperkenalkan makanan tradisional dan popular UK dengan harga berpatutan buat pelancong dari Malaysia.

5. Lokasi pilihan anda?

Saya sangat menyukai bahagian utara Malaysia seperti Kedah dan Perlis kerana landskap yang menarik dan pelbagai, malah keenakan makanannya membuatkan saya seronok di sana.

Utara Malaysia adalah laluan wajib sekiranya saya melakukan penjelajahan di Semenanjung Malaysia.

6. Sajian tempatan kegemaran anda?

Saya tetap menyukai makanan tipikal Malaysia seperti nasi lemak dan sate. Apabila saya mengetahui cara betul menikmati nasi kerabu, kini ia menjadi menu pilihan saya.

Sebelum ini, saya cuma tahu nasi kerabu yang berwarna biru gelap ini dimakan bersama sayuran campuran tetapi saya tidak tahu cara sebenar menikmati nasi kerabu adalah menggaulkan nasi bersama lauknya sekali gus. Nasi kerabu sangat enak!

7. Malaysia pada mata anda?

Meskipun saya adalah orang asing tetapi di sudut hati, saya terkilan dan sedih dengan segelintir rakyat tempatan seolah-olah tidak menghargai, malah memperendah-rendahkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Lebih-lebih lagi, bahasa Melayu diangkat bahasa kelima terbesar dunia dengan lebih 300 juta penutur, justeru golongan ini seharusnya menghargai bahasa Melayu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 3:18 AM