PENONTON kejohanan merakam foto peserta.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Kejohanan Suakasih Outdoor Quest - Surau Al-Ansar Cyling Time Trial 2018 ini sudah kali ketiga penganjurannya sejak 2016 lagi menyaksikan penyertaan seramai 60 pelumba terdiri daripada penduduk Suakasih, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras.

Peserta yang menyertai perlumbaan kali ini seawal usia tujuh sehinggalah 53 tahun sebagai satu bentuk perkongsian minat terhadap aktiviti luar antaranya berbasikal buat ahli kejiranan terutama sekali kanak-kanak.

Menurut penyelaras perlumbaan Shakhir Ishak, demi menyokong dan menggalakkan penyertaan dalam kalangan penduduk Suakasih terhadap program kayuhan itu, pihaknya mengenakan yuran seminimum mungkin untuk menampung kos penganjuran acara terbabit.

“Kejohanan Suakasih Outdoor Quest - Surau Al-Ansar Cyling Time Trial 2018 adalah inisiatif Suakasih Outdoor Quest (SOQ) iaitu pertubuhan komuniti penduduk Suakasih Bandar Tun Hussein Onn, Cheras dengan kerjasama belia Surau Al-Ansar dan Persatuan Penduduk Abadi Ehsan Endah, selaku penaja hadiah.

“Ketika kejohanan pertama dan kedua, tiada yuran dikenakan kerana kami mahu meraikan komitmen komuniti Suakasih dalam acara sukan basikal. Kami menggunakan duit poket sendiri untuk operasi termasuklah penyediaan kemeja T eksklusif dan hadiah.

“Tahun ini kerana jumlah peserta sudah meningkat, secara tidak langsung kos lebih besar perlu ditampung penganjur, kami mengenakan caj seminimum mungkin sesuai dengan keperluan kejohanan apatah lagi ada berlaku pertambahan kategori seperti kategori remaja dan terbuka menerusi format ujian masa. Kami menggunakan medium media sosial untuk hebahan,” katanya.

Mengenai format perlumbaan basikal itu pula, kata Shakhir, pemenang ditentukan menerusi masa terpantas yang dicatatkan peserta.

“Perlumbaan ini berkonsepkan penilaian ujian masa. Pelumba dikehendaki menamatkan jarak kayuhan mengikut masa terpantas yang mana pelumba dilepaskan berdasarkan giliran dan rekod masa mereka.

“Untuk satu pusingan sebenarnya jarak hanya sekitar 300 meter. Kesukarannya ialah peserta perlu melepasi halangan seperti tunggul dan batang kayu, selain akar pokok berselirat yang merentasi laluan mereka.

“Cabaran lain perlu ditempuhi peserta termasuklah selekoh berbahaya. Peserta perlu melepasi semua cabaran itu tanpa jatuh dalam tempoh paling pantas,” katanya.

Selain basikal, SOQ juga aktif dalam aktiviti riadah lain termasuklah mendaki gunung. Projek pertama mereka ialah mendaki Gunung Kinabalu dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Mac 2018 @ 10:50 AM