TURUT sertai larian santai ketika masa lapang.
GAYA hidup aktif pilihan Rozleena Wati.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Dulu, sukar untuk Rozleena Wati Rahim memasuki gelanggang kerana tiada siapa sudi bermain dengannya sama ada rakan pejabat mahupun di kawasan kediaman gara-gara dia kurang mahir dalam sukan badminton.

Mengamalkan gaya hidup aktif sejak kecil malah ‘ligat’ dalam sukan bola lisut di universiti, wanita berusia 41 tahun ini sering mencari sukan bersesuaian dengan kelapangannya sebagai eksekutif dan ibu kepada dua cahaya mata.

“Bola lisut adalah sukan berkumpulan. Jadi saya perlu menceburi sukan lain seperti aerobik dan badminton.

“Sejurus melahirkan anak pertama dan menetapkan misi menurunkan berat badan, saya tekad untuk aktif bermain badminton.

“Malah suami (Mohd Zairu Che Zakaria) menjadi jurulatih tidak rasmi bagi mengasah kemahiran saya.

“Akhirnya berupaya bermain secara kompetitif, permainan saya mula diterima rakan lain. Saya bersyukur kerana mempunyai minat sama dengan suami dalam mengamalkan gaya hidup sihat.

“Saya melihat sesi latihan proses pembelajaran terbaik dalam hubungan suami isteri kerana perasaan ego perlu diketepikan, belajar saling menghormati, toleransi dan mewujudkan persefahaman.

“Bagi saya, sukan badminton sangat sesuai dilakukan semua peringkat usia dan boleh dimainkan meskipun tanpa gelanggang.

“Badminton juga mencabar dari segi mental mahupun fizikal. Ia memerlukan stamina, ketangkasan yang tinggi, peka, cepat berfikir dan bertindak mengikut situasi,” katanya.

Menjadikan badminton sebagai aktiviti riadah keluarga pada hujung minggu, menurutnya masa terhad lantaran tanggungjawab kepada kerja membuatkan dia dan suami sentiasa memastikan anak mereka memiliki masa berkualiti bersama-sama.

Berkongsi pencapaian peribadi, Rozleena Wati menyifatkan penyertaan bagi pertandingan badminton di Indonesia pada 2005 mewakili syarikat menjadi pengalaman paling menarik.

Selain badminton, keluarga kecil ini turut menjadikan larian santai sebagai gaya hidup sihat mereka sejak dua tahun lalu.

Katanya, mereka sekeluarga sentiasa berjoging bersama-sama pada hujung minggu di Taman Rekreasi Bukit Jalil.

“Jika ada acara larian atau sukan menarik, selalunya saya daftarkan seluruh ahli keluarga menyertainya.

“Kami lebih selesa menyertai larian santai membabitkan jarak lima kilometer (km) bersesuaian dengan stamina anak.

“Kadang-kala saya dan anak sulung akan membuat larian sejauh 10 hingga 15km sementara suami bersama anak bongsu menunggu di garisan penamat,” katanya yang berasal dari Pulau Pinang.

Wanita ini berkata, minat yang dikongsi bersama suami dan anak mengeratkan hubungan keluarga dan teman, malah meluaskan jaringan pergaulannya.

Mendirikan rumah tangga sejak 16 tahun lalu, Rozleena Wati berkata gaya hidup sihat menjadi satu daripada resipi kebahagiaan keluarganya.

Tiada istilah bosan dan terkongkong dengan suami, sebaliknya pasangan ini saling memberi motivasi serta dorongan ke arah lebih baik.

Mengimpikan hasrat menyertai acara maraton bersama keluarga, Rozleena Wati juga berharap pendedahan awal sukan kepada anak mampu mencipta peluang dan potensi mereka ke peringkat lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 1:43 AM