KALI pertama makan menggunakan tangan.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Menyuap nasi kandar dengan tangan adalah cara terbaik untuk merasai kelazatannya.

Mengambil idea yang sama, Mio Nosaka yang melakukan perkara yang bertentangan dengan budaya diterapkan dalam dirinya sejak kecil.

Kali pertama menikmati makanan menggunakan tangan, wanita muda ini mengaku nasi sering terjatuh dari celahan jarinya.

Teruja dengan pendedahan budaya baru di Malaysia, Mio menyifatkan kedatangannya ke negara bertuah ini mengajar dirinya mengenai aspek kepelbagaian yang jarang ditemui di tanah airnya.

1. Kali pertama anda menjejakkan kaki ke Malaysia dan tujuannya?

Sekitar tiga tahun yang lalu, saya dan bapa datang bercuti di Malaysia selama seminggu.

Bukan sekadar melawat tempat menarik, tujuan utama percutian itu adalah mencari dan memilih institusi pengajian tinggi (IPT) terbaik dan bersesuaian untuk saya melanjutkan pelajaran.

Kami sempat pergi ke beberapa IPT di sekitar Lembah Klang sebelum pulang ke Jepun.

Saya sememangnya memiliki hasrat untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara kerana ingin memperbaiki kemahiran saya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Lantas, bapa menyarankan saya supaya memilih Malaysia. Justeru pada 2016, saya datang ke Malaysia tanpa ditemani keluarga bagi tujuan ini.

2. Sejauh mana pengetahuan anda mengenai Malaysia sebelum ke sini?

Saya tidak tahu apa-apa mengenai Malaysia, namun saya positif untuk berhijrah ke ‘rumah’ baru ini.

Kebanyakan orang Jepun lebih mengenali Singapura berbanding Malaysia. Selain itu, tidak banyak buku bahasa Jepun berkisarkan Malaysia.

Namun, bapa menyukai Malaysia kerana baginya kepelbagaian masyarakat dan budaya memberi kelebihan kepada saya pada masa akan datang.

3. Cabaran yang anda lalui sepanjang berada di Malaysia?

Akibat kekangan bahasa, permulaan kehidupan saya di Malaysia agak sukar dan saya mengambil masa berbulan-bulan untuk menyesuaikan diri.

Selain itu, saya juga sering tersesat dan tidak tahu di mana kedudukan lokasi yang dituju.

Tetapi personaliti positif rakyat tempatan yang mesra dan peramah membantu saya menyesuaikan diri dengan kehidupan di sini.

Saya juga mengambil masa untuk membiasakan diri menjamu makanan tempatan kerana saya pernah mengalami sakit perut.

4. Pengalaman menarik ingin dikongsikan sepanjang berada di Malaysia?

Sebaik tiba ke Malaysia pada 2016, saya sudah mengalami masalah komunikasi bagi urusan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ia berpunca apabila saya tidak memahami bahasa Inggeris dan hanya mampu menjawab dalam bahasa ibunda.

Kehadiran individu yang mampu bertutur dalam bahasa Jepun berjaya menamatkan kemelut itu. Bagi saya, ia pengalaman berharga dan mendidik saya untuk lebih berdikari.

Memiliki ramai teman sama ada tempatan mahupun antarabangsa, kami pernah bercuti ke Pulau Pinang dan menginap di rumah seorang kawan rapat.

Bagi saya, percutian itu sangat menyeronokkan kerana saya berpeluang mencuba pelbagai jenis makanan tempatan yang asli di sana.

5. Lokasi pilihan anda?

Saya pernah ke Ipoh, Perak sekali kerana mengikuti aktiviti kelab orkestra. Saya sangat menyukai Ipoh kerana di sana, saya dapat mencuba pelbagai jenis makanan popular seperti nasi ayam, ais kacang dan sebagainya.

6. Sajian tempatan kegemaran anda?

Nasi lemak, laksa Penang, kari laksa dan char kuetiau

7. Malaysia pada mata anda?

Malaysia sebuah tempat yang tepat untuk melanjutkan pelajaran, mempelajari bahasa Inggeris. Walaupun saya tidak fasih berbahasa Inggeris, mereka cuba untuk memahami percakapan saya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 1:43 AM