BERJAYA menamatkan kayuhan.
BERJAYA menamatkan kayuhan.
Aniza Zainudin

Meskipun kayuhan mendaki antara 14 hingga 20 darjah sejauh 15 kilometer (km) dari Saeje menuju Ihwaryeong, Korea Selatan disifatkan mencabar, tidak terasa buat tujuh peserta Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Discovery sebaik tiba di puncak Ihwaryeong yang menyajikan panorama indah.

Diketuai Prof Dr Abd Latif Saleh, ekspedisi sejauh 633 kilometer (km) dari Busan menuju Seoul bermula 26 April hingga 4 Mei lalu melakar sejarah peribadi buat ahli kelab basikal berkenaan.

Abd Latif berkata, kayuhan secara mendaki menuju ke Ihwaryeong sangat memenatkan apatah lagi perjalanan diiringi hujan dan suhu dingin antara lapan hingga 10 darjah Celsius.

“Pendakian sejauh 15km, selain faktor cuaca yang berbeza dengan Malaysia, kami turut membawa bebanan 20 hingga 25 kilogram setiap seorang.

“Ini sangat menguji ketahanan fizikal dan mental kami, namun sebaik tiba di pusat pemeriksaan tertentu seperti Ihwaryeong dan Sangju, masing-masing terasa puas dengan lelah yang dilalui.

“Ihwaryeong dan Sangju kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands yang menyajikan pemandangan indah bagi peminat sukan basikal bahkan sentiasa menjadi tarikan pelancong,” katanya.

BERDEPAN cabaran cuaca.
BERDEPAN cabaran cuaca.

Disenaraikan satu aktiviti kelab bagi menguji ketahanan mental dan fizikal, UTM Discovery sebelum ini turut menganjurkan kayuhan di pelbagai lokasi berbeza seperti Pulau Karimun, Pulau Kundur dan Pulau Batam, Indonesia yang jaraknya melebihi 500km.

Memilih Korea Selatan sebagai destinasi ekspedisi terbaru, pasukan terdiri daripada Sharul Ismail, Mohtar Sahiman, Masnawi Miskam, Abd Aziz Yaacob, Ahmad Zulkepli Md Tamami, Mohd Hamri Md Yusof dan Sanorzaman Md Isa ini turut menjalani latihan intensif selama dua bulan.

Berjaya menamatkan kayuhan selama tujuh hari dan melalui tujuh terowong dan 23 pusat pemeriksaan, pasukan ini turut menerima sijil dan pingat daripada Korean Water Authority yang bertanggungjawab mengurus dan menyelia laluan basikal di negara berkenaan.

Menyifatkan pemilihan Korea Selatan sebagai lokasi terbaik bagi ekspedisi ini, Abd Latif mengakui kayuhan itu memberi pendedahan terhadap budaya, infrastruktur berbasikal, amalan undang-undang dan mentaliti kelas pertama rakyat negara berkenaan.

SATU daripada tujuh terowng yang terpaksa dilalui.
SATU daripada tujuh terowng yang terpaksa dilalui.

Peserta paling senior, Mohtar, 62, turut berkongsi rasa kagum dengan pemandangan sepanjang laluan yang melewati kampung, sawah padi, ladang epal, sungai utama, pekan, bandar dan taman rekreasi.

Bagi Masnawi, kerajaan Korea Selatan sangat komited dalam memupuk budaya berbasikal dalam kalangan rakyatnya.

Lebih menarik, kerajaan di sana turut mewujudkan laluan berbasikal di kebanyakan sungai besar seperti Sungai Han, Sungai Nakdong, Sungai Geum dan Sungai Yeongsan yang menjadi sebahagian projek pemulihan sungai.

Katanya, laluan kereta api yang asalnya sejajar dengan sungai berkenaan kini ditukarkan menjadi laluan basikal sepanjang 633km sekali gus membolehkan penggemar sukan basikal mengayuh dari Busan ke Seoul.

Selain itu, terdapat banyak tempat rehat untuk pencinta sukan berbasikal di sepanjang laluan termasuk kedai makanan dan minuman, tandas percuma - semuanya secara tidak langsung mencerminkan sikap rakyatnya yang mementingkan disiplin serta aspek kebersihan.

MERAKAM kenangan di Ihwaryeong.
MERAKAM kenangan di Ihwaryeong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 10:56 AM
Digital NSTP Subscribe