JALAN sekitar istana mempunyai pintu gerbang daripada bahan batu sama dengan bangunan.
JALAN sekitar istana mempunyai pintu gerbang daripada bahan batu sama dengan bangunan.
GERBANG tempat kami melangkah masuk ke bahagian sejarah Islam, Alhambra.
GERBANG tempat kami melangkah masuk ke bahagian sejarah Islam, Alhambra.
MENGEKALKAN tekstur permukaan dinding bangunan lama, daripada bahan batu semula jadi.
MENGEKALKAN tekstur permukaan dinding bangunan lama, daripada bahan batu semula jadi.
TAMAN kolam dalam kawasan bangunan istana kerajaan Islam.
TAMAN kolam dalam kawasan bangunan istana kerajaan Islam.
Rashidah Ibrahim


Tersergam di atas Bukit Sabika di kaki pergunungan Sierra Nevada adalah kubu seluas 740 meter panjang dan 40 hingga 220 meter lebar.

Di atas pelan tanah memanjang, besar di tengah dan mengecil di kiri dan kanan, terbinanya Alhambra, istana hebat dari zaman pemerintahan Islam di Granada, Sepanyol.

Sewaktu kami tiba pagi itu, orang ramai beratur panjang untuk masuk. Sebentar kemudian tiba seorang wanita muda berturban dengan skirt labuh, memperkenalkan diri sebagai Wafa berasal dari Maghribi. Dia adalah pemandu pelancong kami.

Hujan rintik pada pagi itu memaksa kami membeli payung untuk mengelak basah. Wafa memberi kami fon telinga dan sambil berjalan, kami mendengar penerangannya menerusi fon telinga masing-masing.

Wafa tidak membawa kami menerusi pintu masuk utama di mana ramai pelancong beratur, sebaliknya mengetuai kami ke pintu sebelah lain.

“Saya sengaja bawa masuk menerusi pintu ini agar kita dapat memulakan lawatan di bahagian sejarah Islam,” ujarnya memberitahu barisan panjang tadi mahu masuk menerusi pintu bahagian sejarah Kristian.

Permulaan langkah ke dalam kawasan kubu menerusi tembok gerbang, besar tersergam.

Dengan kedudukan setinggi 790 meter dari aras laut, menurut Wafa, Alhambra adalah tempat bertakhta 24 Sultan Nasrid.

Benteng terakhir kuasa Islam di Granada adalah kerajaan Nasrid, yang kemudiannya jatuh ke tangan Kristian.

Difahamkan Alhambra dibangunkan kerajaan Islam dari Bani Ahmar atau bangsa Moor (Moria), berasal dari Afrika Utara, sebagai kerajaan Islam terakhir yang berkuasa di Andalusia (kini Sepanyol) dari 1232 M hingga 1492 M.

Sultan Muhammad dikenali sebagai Al-Ahmar dari Bani Nasr berketurunan Sa’id bin Ubaidah, seorang sahabat Rasulullah dari suku Khazraj di Madinah dikatakan menjadi pengasas pembangunan istana itu (1238-1358 M), yang diteruskan oleh keturunan raja-raja Bani Ahmar.

Rupa bumi tidak rata dengan pemandangan luas tidak terhalang, memberi kelebihan mengawasi musuh dari bukit itu.

Sungai Darro melingkungi Alhambra menjadi sempadan semula jadi, menguatkan ciri pertahanannya sebagai benteng musuh.

SENI ISLAM

Keluar masuk bangunan, kami melewati landskap taman demi taman yang indah. Terpukau dengan keindahan seni hiasan pada tiang, dinding dan siling yang menonjolkan kemasan terperinci.

Alhambra adalah tinggalan seni Islam yang luar biasa. Bayangkan seluruh permukaan dinding pada bahagian tertentu terhasil daripada motif kaligrafi Islam dengan pengertian tersendiri. Bentuk kolom, muqarnas dan stalaktit pada dekorasi lelangit, muncul dalam beberapa ruang.

Misalnya catatan ‘wa la ghalibu illallah’ ditulis berulang-ulang di dinding bermaksud ‘tidak ada pemenang/kejayaan selain Allah’, oleh Zawi ben ZirÌ. Pilihan ayat memberi ingatan akan kekuasaan Allah.

Kaligrafi Arab yang tertera dikatakan berasal dari antara lain raja-raja Yusuf, Mohammed V dan Ismail I.

Wafa membacakan kepada kami beberapa ayat dengan sesekali memberi terjemahan dalam bahasa Inggeris.

“Sambil bertemu sultan, individu itu akan mendapat manfaat daripada ayat-ayat itu. Sultan dapat bercakap dengan seseorang sekejap saja, jadi paparan kalimah terpilih itu menjadi pedoman kepada pembacanya,” kata Wafa.

Difahamkan, hiasan kaligrafi melata pada dinding Alhambra adalah tulisan kursif dan kufic, di samping puisi tiga penyair iaitu Ibnu al-Yayyab (1274-1349), Ibn al-Jatib (1313-1375) dan Ibn Zamrak (1333-1393), dari jabatan kedutaan kerajaan dan perdana menteri.

Hiasan dalaman menerapkan sisa-sisa kekuasaan Moorish dengan ukiran dan gaya seni Islam yang banyak mempengaruhi bangunan lain di Sepanyol dan beberapa negara lain.

Selama berabad-abad bangsa Moor memakmurkan negeri gersang yang tandus itu sehingga Granada muncul pusat kegiatan komersial, kebudayaan, politik serta peradaban Islam.

Menurut Wafa, kota kubu Alhambra diasaskan pembangunannya oleh Sultan [email protected]-Ahmar dengan ciri keselamatan yang sukar ditembusi orang luar.

“Alhambra bermaksud ‘Si Merah’ (dalam bahasa Arab), mengambil sempena gelaran ayahanda kepada pengasas Alhambra, Sultan Muhammad I.

“Ayahanda baginda dikenali dengan wajah berjambang merah,” tambah Wafa. Sultan Muhamad I pula diberi gelaran ‘Anak Si Merah’.

Kompleks istana itu bagaimanapun terbina hasil pengubahsuaian dan penambahan berterusan sepanjang pemerintahan sultan-sultan Nasrid.

Peringkat pengubahsuaian mengikut cita rasa setiap sultan. Selepas bertakhtanya 24 sultan, Alhambra menyaksikan perubahan dari segi penampilan dalaman, juga selepas dikuasai Kristian, ujar Wafa sambil menambah beberapa bahagian dinodai kesenian asalnya.

Namun, orang Kristian kagum dengan perincian seni hiasan Islam, yang terpancar daripada reaksi pelawat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 5:42 AM