MOHD Nizam (tengah) bersama pekerja.
KETUA cef bersama sebahagian hidangan yang ditawarkan.
Fatin Farhana Japre


Kelaziman kebanyakan restoran atau gerai di Melaka yang menyediakan set asam pedas berasaskan ikan dan daging menyebabkan Arham Syafiq Azmi, 33, mencari kelainan dari segi konsep hidangan di restorannya.

Anak kelahiran Kedah itu berani mempertaruhkan konsep ‘makan besar’ dengan pelbagai pilihan masakan tradisional Melayu di restoran Asam Pedas Lagenda miliknya.

Konsep makan besar sangat sinonim dengan ma­syarakat Cina tetapi Arham Syafiq mahu menerapkan konsep ini dalam kalangan masyarakat Melayu pula.

Restoran yang terletak di Jalan Lagenda itu sentiasa dikunjungi penggemar lauk kampung tidak kira siang atau malam.

Ini kerana selain asam pedas, Asam Pedas Lagenda juga menyediakan pelbagai makanan laut segar untuk dipilih pelanggan sebelum dimasak dalam variasi lauk kampung oleh jurumasak berpengalaman.

Menurut Arham Syafiq, antara menu yang menjadi kegemaran pelanggannya adalah asam pedas ketam (king crab) dan udang karang masak lemak cili padi.

Rasanya ini kali pertama penulis melihat sendiri ketam besar ini dimasak menu asam pedas dan hasilnya memang menyelerakan.

Tekstur kuah asam pedas yang pekat dan kemanisan isi ketam menjadikan hidangan bertambah sedap hingga menjilat jari!

Tidak hairan setiap hari sebanyak empat periuk besar asam pedas habis terjual.

Selain sajian asam pedas yang ‘power’, penulis merasai keenakan udang karang masak lemak cili padi. Kuahnya yang pekat, rasa lemak dan tidak terlalu pedas menyebabkan menu ini bukan saja digemari pelanggan Melayu malah Cina dan India. Memang puas makan dengan nasi panas berasap dan ulam-ulaman!

Rahsia keenakan sajian di restoran ini ialah ia menggunakan resipi warisan keluarga ketua cef iaitu Mohd Nizam Yusop, 39, agar rasanya unik dan lebih sedap berbanding restoran lain.

Jika anda pusing di seluruh negeri Melaka, restoran ini ada kelainan kerana menawarkan lebih 20 jenis makanan laut segar yang sukar didapati di tempat lain.

Antaranya makanan laut yang jarang ditawarkan dan hanya boleh didapati ialah udang karang 80 gram (RM90), udang putih 1kg (RM110), ketam nipah 1kg (RM79) dan king crab 1kg (RM110).

Semua bekalan makanan laut ini diambil daripada pembekal sejuk beku di Melaka manakala king crab dari Alaska.

Tidak banyak restoran di Melaka yang menawarkan hidangan makanan laut seperti king crab dan udang karang kerana kosnya tinggi dan dianggap makanan golongan kelas atasan.

“Kami menjanjikan yang terbaik dalam setiap sajian demi kepuasan selera pelanggan. Anda boleh merasai kelainan masakan Melayu tradisional hanya di restoran ini dengan harga berpatutan,” katanya Arham Syafiq.

Tambah Arham Syafiq, mungkin tidak semua orang mampu singgah ke restorannya untuk menikmati sajian berkonsepkan makan besar. Oleh itu, dia juga menawarkan set istimewa asam pedas pari, kembung, tetel atau telur tenggiri yang disertakan dengan nasi putih, sambal belacan, sayur goreng dan telur masin dengan harga RM12.90 saja.

Lebih menarik, anda juga boleh mencuba kelainan menikmati hidangan shell out asam pedas yang pertama di Melaka.

Selain itu, pelanggan juga boleh memilih tujuh jenis perisa lain antaranya sambal manis, sambal telur atau masak berlada mengikut cita rasa masing-masing.

Arham Syafiq berkata, hampir 1,500 pelanggan datang ke restorannya setiap hari untuk menyaksikan perlawanan bola sepak di skrin besar atau santai melayan busking dan pada hari cuti pula boleh mencecah 2,500 pelanggan.

Hidangan lain yang menjadi tarikan di sini ialah ikan siakap masak berlada, udang goreng tepung, ketam nipah masak sambal bertelur, kupang hitam berlada, pepahat goreng cili padi dan air minuman pula berry beauty, minty poms dan bandung soda cincau.

Restoran Asam Pedas Lagenda yang terletak di No. 24, Jalan Lagenda 3, Taman 1 Lagenda, Melaka beroperasi setiap hari dari jam 11 pagi hingga 11 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 5:52 AM