TERIMA penyertaan lebih 700 orang.
Aniza Zainudin

Tampil dengan kelainan dan keunikan berbeza setiap tahun menjadi konsep penganjuran acara kayuhan Fire X-Ride Epic Journey (FXREJ) di Alor Gajah, Melaka yang memasuki tahun kelapan, pada 3 November lalu.

Menerima 700 penyertaan, program kayuhan tahunan ini mempertandingkan sembilan kategori iaitu Junior (16 hingga 21 tahun), Lelaki Terbuka (21 hingga 34 tahun), Lelaki Masters (35-44 tahun), Lelaki Veteran (45 ke atas), Fatbike, Heavyweight 95 kilogram, Wanita, Supermama (35 tahun ke atas) dan Pasukan (dua lelaki dan satu wanita).

Dianjurkan Kelab Basikal Lasak Cycle X MTB Alor Gajah dengan kerjasama Majlis Perbandaran Alor Gajah, kelainan yang disajikan kepada peserta adalah program larian santai, Purple Jumbo Fire X Nite Run, diadakan pada waktu malam selepas tamat acara kayuhan.

Pengerusi Kelab Basikal Lasak Cycle X MTB Alor Gajah, Mohd Fadil Saidin berkata, larian santai terbuka kepada peserta berminat untuk menguji ketahanan masing-masing selepas berjaya menamatkan kayuhan sebelum itu.

“Bagi mereka yang biasa menyertai acara FXREJ, pasti teruja untuk melakukan kelainan yang pihak penganjur sediakan.

“Tahun ini, kami memperkenalkan larian santai Purple Jumbo Fire X Nite Run dengan jarak sejauh lima kilometer (km) dan 10km bagi menguji kekuatan fizikal serta mental peserta dalam satu hari.

“Program larian ini menerima sambutan menggalakkan apabila seramai 300 daripada 700 peserta FXREJ tidak melepaskan peluang dan menyahut cabaran ini.

“Seperti tahun lalu, kami berjaya mencipta rekod apabila menyediakan trek luar jalan raya terpanjang 120km, sekali gus mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records,” katanya ketika dihubungi.

LARIAN Purple Jumbo Fire X Nite Run.

Menurut Mohd Fadil, penganjuran FXREJ bertujuan mempromosikan destinasi pelancongan menarik di sekitar bandar Alor Gajah melalui aktiviti sukan.

Dalam masa sama, penyertaan besar-besaran ini turut berupaya mempertingkatkan pendapatan ekonomi peniaga kecil serta pengusaha inap desa di bandar berkenaan.

Katanya, acara FXREJ adalah program kalendar tahunan Kelab Basikal Lasak Cycle X MTB Alor Gajah untuk mengumpulkan peminat basikal lasak bertukar-tukar pandangan dan pengalaman dari seluruh tanah air.

MERENTASI anak sungai.

“Setiap tahun, laluan kayuhan diubah dan wujudnya penambahan trek baharu bagi menawarkan kelainan kepada peserta, seterusnya mengelakkan mereka berasa bosan dengan laluan sama.

“Kali ini peserta berpeluang merasai pengalaman menyeronokkan apabila perlu merentasi pelbagai keadaan permukaan bumi merangkumi jalan raya, jalan kampung, ladang kelapa sawit, kebun getah, denai, trek berbukit, cerun serta anak sungai di sepanjang 60 kilometer kayuhan,” jelasnya.

Jamboree ini bermula di Dataran Alor Gajah, Jalan Dato Dol Said, Lebuh AMJ, Pulau Sebang, Tabung Naning, Gadek, Kampung Tanjung Rimau, Ladang Kemuning Sime Darby, Pegoh, Melekek dan Kelemak.

ANTARA pemenang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 7:02 AM