ZAIMAH ketika bertugas di tapak pembinaan.
Noriza Sainal

Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Itu perumpamaan sesuai buat Zaimah Athira Mohd Wari, 24, yang mewarisi bakat dan kerjaya kedua-dua ibu bapanya sebagai arkitek.

Gadis manis ini mengakui mula menunjukkan minat terhadap gabungan bidang seni dan sains itu pada usia lima tahun. Pada usia sekecil itu dia sudah melihat kesungguhan ibu bapanya bekerja apabila mereka sering membawa pulang kertas kerja dan lukisan pelan yang padanya kelihatan sangat menarik.

“Pada awalnya saya sering melihat hasil lukisan yang dibawa ibu bapa dari pejabat, lama-kelamaan saya terpengaruh untuk mencuba melukis sendiri.

“Malah, semasa berada di sekolah, apabila mengisi ruangan ‘cita-cita’, arkitek antara bidang kerjaya yang dipilih ketika itu," katanya.

Dia yang memanggil ibunya sebagai mama berkata, dalam kalangan adik-beradik hanya dia yang mengikut jejak ibu bapanya untuk menjadi arkitek dan gembira dengan pilihannya itu.

Anak sulung daripada tiga beradik serta menjadi satu-satunya ‘bunga’ dalam keluarga banyak mendapat galakan dan bimbingan ibu bapanya, di mana ibunya memberi tunjuk ajar dari segi kesenian, manakala bapanya pula lebih menyumbang ilmu berkaitan teknikal.


ZAIMAH diapit ibu bapa yang mempunyai bakat sama dalam bidang seni bina.

Memiliki ibu bapa dengan kerjaya idaman ramai itu bagaimanapun tidak menjadikan ia sebagai batu loncatan untuk memasuki bidang itu. Malah graduan Universiti Teknologi Mara (UITM) itu memilih menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana supaya kemampuan dan ilmunya dalam bidang ini dapat diperluas lagi.

“Minat yang sama ini memudahkan pengajian saya. Saya bersyukur kerana mendapat bimbingan dan ‘guru’ tambahan yang boleh dihubungi pada bila-bila masa. Malah selain pensyarah, ibu bapa menjadi tempat rujukan dan biasanya ada saja panduan yang akan diberikan apabila saya bertanya,” katanya.

Selain mendapat sokongan dan nasihat, Zaimah yang menjadikan arkitek dari Iran, Zaha Hadid sebagai idola dalam bidang pilihannya itu mengumpul pengalaman dan menimba ilmu yang lebih praktikal dengan cara bekerja di bawah firma milik bapanya.

Selain lukisan pelan perumahan dan bangunan, Zaimah juga mempunyai bakat seni yang lain. Dia gemar melukis menggunakan inai di atas kanvas dan siapa sangka ia menjadi sumber duit poketnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 6:00 AM