ISZUAN (kiri) bersama Ismail dan lukisan Iszuan yang dipamerkan di Taman Seni dan Budaya Semenyih.
Zaitie Satibi


MENANG pertandingan melukis dan mewarna pada usia empat tahun mungkin dianggap pencapaian biasa untuk seorang kanak-kanak. Namun, bagi Iszuan Ismail, 37, kemenangan itu menyemarakkan semangat beliau untuk menyerlah dalam bidang seni lukisan.

Mula berpameran dari 2008 sehingga kini secara berterusan menerusi galeri, balai seni tempatan dan asing seperti di Singapura, Indonesia, Thailand dan Poland. Anugerah pertama dimenangi dalam pertandingan mencipta logo Komemoratif Sedekad Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 2015.

Iszuan mendapat didikan seni sejak kecil daripada bapanya yang juga pelukis aliran seni naif atau naive art, Ismail Baba, 68. Tiga elemen iaitu melukis, mewarna dan bersantai yang diterapkan pelukis berpengalaman luas itu pada anak-anak membolehkan Iszuan memperkembangkan bakat mengikut kreativitinya.

“Ibarat pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya, papa mengajar saya teknik melukis dan mewarna sejak kecil supaya mudah dibentuk. Dalam erti kata lain, memang papa memberi laluan dan galakan dalam seni lukis, malah saya juga kerap didedahkan menerusi pertandingan melukis dan mewarna kanak-kanak.

“Biarpun hanya aktiviti untuk kanak-kanak, pendedahan yang diberi amat luas manfaatnya berikutan dari situ saya juga belajar keyakinan diri, cara berkomunikasi dengan orang ramai dan bertukar-tukar fikiran dengan peserta lain,” katanya.


SEKELUARGA bergambar hari raya di studio seni Ismail.

Iszuan yang kini bertugas sebagai pemilihan kurator di Galeri Shah Alam, berpengalaman lebih 10 tahun sebagai pereka grafik, pereka set dekorasi, jurugambar pengiklanan dan terbitan produksi serta tutor seni di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

“Minat sangat perlu dididik atau diasuh sejak kecil, namun ia juga bergantung pada setiap individu. Saya teruskan minat dalam seni dengan memilih kerjaya yang berkaitan. Dengan ini saya dapat lebarkan lagi bakat seni dan tidak mensia-siakan ajaran papa.

“Selain itu, secara peribadinya mama, Rokiah Maana, 63, dan isteri, Mona Erlisa Mohd Nasry, 38, adalah penyokong dan pengkritik tetap saya dalam menghasilkan karya. Kedua-dua wanita penting ini banyak memainkan peranan dalam perjalanan seni saya. Tanpa mereka mungkin sukar untuk saya berada pada tahap sekarang,” katanya.

Mengenai Ismail, beliau terbabit dalam aliran seni naif sejak 2006 secara sepenuh masa. Detik awal minatnya berputik dalam aliran itu bermula sebaik beliau berhenti sebagai pereka set pameran (display artist) di beberapa hotel sekitar ibu negara.


ISMAIL (empat dari kiri) ketika menyertai pameran di luar negara.

Pengalaman selama 35 tahun itu membuatkan jiwa seni anak kelahiran Kuala Selangor, Selangor ini tidak betah untuk duduk berpeluk tubuh selepas meninggalkan alam pekerjaan. Oleh itu, Ismail memilih untuk berkarya dan menghasilkan lukisan sendiri.

Ismail ternyata begitu komited dalam berkarya dan sudah pun menghasilkan ratusan karya naif dalam pelbagai medium dan saiz. Aliran seni naif lebih bersifat keanak-anakan, manakala karya terhasil adalah seni yang lahir daripada hati pelukis itu sendiri mengikut apa yang dibayangkan atau difikirkan.

“Bagi saya, papa dikurniakan bakat asli kerana apa saja dilukisnya biarpun hanya menggunakan sebatang pensel, tetap menjadi. Malah, sejak kecil juga saya sering mendengar permintaan dari ahli keluarga lain yang meminta papa melukis potret mereka.

“Ciptaan logo serta tugu sambutan 100 tahun Batu Pahat antara pencapaian yang paling klasik dan estetika dimiliki. Papa bergerak bersama rakan pelukis dan pernah terbabit dalam kumpulan Anak Alam, Angkatan Pelukis Malaysia (APS) dan RONA untuk pelukis seni naif.

“Karya papa juga pernah dipamerkan di luar negara selain pameran pada peringkat tempatan. Kini, anak-anak saya, Isyraf, 9, dan Iszdiyad, 8, mengikut jejak langkah kami. Karya mereka dihantar menyertai pameran sempena pertandingan melukis di China, baru-baru ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 8:34 AM