Syed Ahmad Zulkarnain Syed Ali


MARRAKESH yang terletak di barat Maghribi ini mungkin kurang dikenali dalam kalangan pelancong Malaysia tetapi bagi kebanyakan penduduk Eropah terutamanya di selatan benua berkenaan, bandar itu adalah antara destinasi pelancongan popular.

Apabila mendapat jemputan daripada syarikat perkongsian rumah, Airbnb untuk satu lawatan ke Marrakesh, penulis cukup teruja dan pada masa yang sama terus membuat carian di Internet kerana tidak banyak yang diketahui mengenai bandar ini.

Bekas tanah jajahan Sepanyol dan Perancis ini adalah antara pusat ekonomi utama Maghribi yang terkenal dengan masjid bersejarah, istana lama dan taman indah yang menakjubkan.

Kali pertama menjejak kaki ke bumi Marrakesh, penulis disambut dengan tiupan angin dan cuaca yang dingin serta pemandangan kota yang luar biasa.


PENULIS (duduk, kiri) bersama wartawan, penggiat media sosial dan jurugambar bebas bergambar di kawasan gunung berhampiran kampung Tazi.

Penulis bernasib baik kerana lawatan itu diadakan pada musim bunga iaitu pada Mac hingga Mei yang dianggap waktu paling sesuai untuk berkunjung ke Marrakesh ketika cuacanya tidak terlalu sejuk dan tidak terlalu panas iaitu sekitar 23 darjah Celsius pada waktu siang.

Lawatan itu juga disertai beberapa wartawan, penggiat media sosial dan jurugambar bebas dari China, Australia, New Zealand, India, Hong Kong, Jepun dan Korea Selatan.

Menurut penganjur, lawatan itu bukan saja membawa kami ke tempat menarik di Marrakesh tetapi pada masa yang sama mempelajari budaya, gaya hidup dan makanan tradisional penduduk di Maghribi.

Majoriti penduduk Maghribi terdiri daripada bangsa Arab dan etnik Berber yang menjadi penduduk asal negara itu dan kebanyakan mereka boleh bertutur dalam bahasa Arab, Perancis serta Sepanyol.


VILA indah di taman Jardin Majorelle yang mpopular di Marrakesh.

Pada hari pertama lawatan, kami dibawa mengikuti kelas kaligrafi khat yang dikendalikan artis kaligrafi terkenal Maghribi, Abdel Jalil, 58.

Dalam kelas berkenaan kami didedahkan dengan teknik tulisan khat jenis Nasakh, Diwani, Kufi dan beberapa lagi selain turut berpeluang menulis khat.

Tulisan khat adalah antara sebahagian budaya hidup penduduk Maghribi dan hampir semua rumah menggantung hiasan ayat suci al-Quran yang ditulis dengan kaligrafi unik itu.

Sesudah bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal kepada Abdel Jalil, kami meneruskan lawatan ke Istana Bahia yang terkenal di bandar ini.

Istana Bahia dibina pada lewat kurun ke-19 oleh raja ketika itu sebelum ia dijadikan tempat tinggal pegawai penjajah dari Sepanyol dan Perancis.

Uniknya istana ini, ia mempunyai beberapa bahagian kediaman yang lengkap dengan taman persendirian dan air pancut. Ia juga terkenal dengan seni bina dan hiasan unik Maghribi.

Pada hari kedua, kami dibawa melawat bandar purba Medina yang terletak di tengah Marrakesh dan dikelilingi tembok besar yang diperbuat daripada batu berwarna merah.

Tapak Warisan Dunia UNESCO ini dibina pada kurun ke-11 dan ia menempatkan beberapa lokasi popular seperti Masjid Koutoubia atau Kutubiyya, dataran Jemaa el Fna dan pelbagai gerai serta restoran menarik.

Masjid Koutoubia adalah masjid terbesar dan tertua di Marrakesh yang terkenal dengan menara yang besar setinggi hampir 77 meter.

Kebanyakan penduduk kaya di Medina ini tinggal di rumah tradisional yang dikenali sebagai riad.

Riad biasanya dibina setinggi dua hingga tiga tingkat dan mempunyai banyak bilik serta lengkap dengan kolam renang atau air pancut supaya anak yang baru berkahwin boleh tinggal bersama. Kini kebanyakan riad di kawasan ini dijadikan hotel dan restoran serta dimiliki oleh warga asing.

Kawasan Medina ini mempunyai banyak jalan dan lorong yang sempit yang kelihatan hampir sama serta mengelirukan. Seelok-eloknya ketika berjalan di sini pergilah bersama pemandu pelancong atau mereka yang mahir selok-belok jalan di situ bagi mengelak risiko tersesat.


ANTARA aktiviti yang dilakukan pengunjung di dataran Jemaa el Fna.

Berhati-hati juga ketika berjalan di sini kerana penulis dan rakan yang lain beberapa kali hampir dilanggar penunggang motosikal yang memandu dengan laju melalui lorong-lorong kecil ini.

Satu lagi tempat menarik di Medina adalah dataran Jemaa el Fna yang popular dengan gerai makanan dan menjadi lokasi pelbagai persembahan kebudayaan penduduk Maghribi.

Anda boleh menonton persembahan seperti nyanyian, tarian dan silap mata secara percuma tetapi apabila anda mengeluarkan telefon bimbit untuk merakamkan gambar atau video mereka akan memaksa anda memberi sedikit wang.

Tidak lengkap sekiranya melawat Marrakesh jika tidak pergi ke taman Jardin Majorelle yang direka artis Perancis, Jacques Majorelle kira-kira 40 tahun lalu yang lengkap dengan sebuah vila yang cantik.

Jardin Majorelle juga dianggap sebagai lokasi paling kerap dirakamkan gambar di Marakkesh dan sudah pasti penggiat media sosial berlumba-lumba memuat naik gambar di taman itu.

Kami agak kecewa kerana ketika kunjungan kami kawasan ini penuh sesak dengan pelancong kerana melawat pada hari minggu menyebabkan sukar untuk merakamkan gambar yang menarik.

Selepas melawat beberapa kawasan menarik di Marakkesh, kami meneruskan lawatan ke kampung Tazi yang terletak di wilayah Ourika di kawasan pergunungan Atlas.

Perjalanan ke kampung Tazi yang terletak kira-kira 1,600 meter dari aras laut itu mengambil masa selama tiga jam dan kami terpaksa menaiki kenderaan pacuan empat roda di laluan gunung berbatu serta curam.

Apabila tiba di kampung ini kami terpukau dengan keindahan landskap, bangunan yang unik dan pemandangan kawasan pergunungan yang menakjubkan. Di kampung ini kami tinggal di sebuah rumah penginapan yang diusahakan oleh seorang penduduk tempatan.

Kampung ini mempunyai kira-kira 200 penduduk yang kebanyakannya dari etnik Berber dan beragama Islam. Terdapat juga sebuah masjid dan sekolah. Majoriti penduduk di sini bekerja sebagai petani dengan menanam gandum dan menternak kambing serta lembu sebagai punca pendapatan utama.

Biasanya pada musim sejuk kampung ini akan diliputi salji menyebabkan sukar untuk pelawat datang ke sini. Pada lawatan ini kami dibawa melawat kawasan kampung dan mendaki kawasan bukit berhampiran untuk melihat keindahan banjaran gunung berkenaan.

Sepanjang sehari di sini kami dibawa melawat kawasan kampung dan mendaki kawasan bukit berhampiran untuk melihat aktiviti penduduk yang bercucuk tanam serta mengembala kambing.

Selepas empat hari akhirnya tiba masa untuk pulang. Walaupun tidak cukup rasanya melawat banyak lagi lokasi menarik di sini, Marrakesh, penduduk dan budayanya meninggalkan seribu satu kenangan untuk penulis.


PENULIS bergambar dengan kanak-kanak di kampung Tazi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 10:42 AM