PEMANDANGAN mengasyikkan di Santorini.
Wan Azfarozza Wan Athmar


MENJEJAKKAN kaki ke negara yang berada dalam lipatan sejarah kerana tamadunnya yang unggul satu daripada impian penulis. Mengetahui mengenai tamadun Yunani melalui pembacaan khususnya buku sejarah, penulis akhirnya berada di bumi yang terkenal dengan ahli falsafahnya seperti Aristotle dan Socrates.

Kewujudan cerita mitos Greece yang menjadi tulang belakang kebanyakan kisah filem Hollywood seperti Dewa Zeus, Hera dan Apollo membuatkan penulis teruja untuk menjejaki semula peninggalan tamadun Yunani yang masih wujud di celah kesibukan Athens.

Sebelum memulakan eksplorasi, pemilihan tempat penginapan amat penting bagi memastikan kelancaran perjalanan.

Apatah lagi ini adalah kali pertama penulis menjengah ke sini. Pilihan pertama adalah hotel di pinggir kota Athens iaitu Hotel Semiramis.


PENULIS di Santorini. Kesibukan kota Athens.

Selepas berada selama 12 jam dalam penerbangan, penulis memilih hotel ini yang jauh daripada hingar bingar kota untuk berehat. Hari yang seterusnya penulis beralih ke pusat kota Athens dan pemilihan hotel yang berhampiran dengan pengangkutan awam amat penting bagi memudahkan pergerakan sepanjang berada di sini.

Hotel Hilton dan Wyndham Residence dipilih kerana lokasinya yang strategik. Bagi memudahkan lokasi yang dikunjungi dan berhubung dengan rakan-rakan serta keluarga, penulis memilih alat WiFi mudah alih Travelreccommends bagi tujuan ini. Ia jauh lebih menjimatkan.

Antara lokasi dikunjungi penulis adalah Terusan Corinth, 85 kilometer (km) dari kota Athens dan menjadi lokasi wajib pelancong sekiranya berada di Greece.

Dahulu terusan ini laluan penting bagi kapal memasuki Laut Aegean. Terusan sepanjang 6.4km dengan kelebaran hanya 25 meter ini tidak lagi digunakan bagi laluan kapal pada hari ini.


TEATER Epidaurus tampilkan ciri istimewa di tempat duduknya sebagai kalis bunyi.

Kini fungsinya berubah, menjadi pusat tarikan pelancong untuk dihayati keindahannya. Penulis kemudian ke Teater Epidaurus. Terpesona dengan seni binanya, teater ini dibina pada 340 sebelum masihi (SM).

Mampu menampung 13,000 penonton, teater ini masih digunakan sehingga ke hari ini antaranya untuk Festival Epidaurus setiap tahun.

Keunikan teater ini, tempat duduknya berfungsi sebagai perangkap bunyi membolehkan penonton di barisan belakang mendengar apa yang berlaku di panggung. Keadaan ini dikenali sebagai ‘pitch virtual’.

Lokasi seterusnya perjalanan mendaki ke puncak bukit kota Athens untuk ke Parthenon Acropolis. Ia adalah kuil tamadun Yunani yang dibina untuk Dewi Athena.

Pembinaannya bermula pada 477 SM ketika empayar Athens berada di kemuncak kekuasaannya. Kuil berkenaan dianggap sebagai simbol demokrasi tamadun Yunani selain menjadi monumen sejarah terunggul di dunia.


SEBUAH rumah penduduk di Santorini.

Puas melawat destinasi bersejarah, gugusan pulau di Greece pula melengkapi senarai destinasi dalam percutian ini.

Santorini adalah nama yang menitip bibir setiap pelancong ke Greece selain Mykanos. Pulau kegemaran pengguna media sosial ini menjadi pilihan kerana keindahan semula jadinya di samping seni binanya yang unik.

Terpesona melihat rona putih dan biru yang menjadi warna tema bagi kebanyakan bangunan di sini. Ia tampak serasi dan harmoni.

Jadi tidak hairanlah jika keserasian itu menarik perhatian dunia untuk melancong dan bersantai serta menjadi pilihan penggemar sesi sesi fotografi.

Pulau yang wujud daripada letusan gunung berapi itu juga dikenali sebagai Thira. Pelancong boleh memilih sama ada untuk menginap di kawasan Fira atau Oia.

Sekiranya ingin menikmati pemandangan matahari terbenam, Oia adalah lokasi yang terbaik manakala Fira pula sesuai buat mereka yang ingin menikmati keindahan dan kesyahduan suasana hening kala matahari terbit.

Bagi mereka yang berhajat ke Santorini boleh menaiki penerbangan murah dari kota Athens hanya mengambil masa 45 minit ke pulau ini atau menaiki feri yang mengambil masa lebih kurang enam jam.

Kombinasi tapak arkeologi purba dan pulau-pulau menjadikan Greece sebuah negara unik untuk dilawati.

Kunjungan ke panorama monumen dan pulau dengan laut nan membiru pasti meninggalkan memori terindah buat pengunjung. Pastikan Greece menjadi antara negara kunjungan di kalendar kembara anda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 4:30 AM