CHEFCHOUEN yang biru. FOTO Hanim Mohd

KERJA gila! Begitulah reaksi sebahagian rakan dan keluarga apabila penulis dan rakan sekerja, Zarina Othman mengatakan mahu menjelajah Maghribi selama 14 hari dengan memandu sendiri. Antara ciri menarik yang mempengaruhi kami untuk ke Maghribi ialah gabungan budaya Arab dan Berber (kaum asli negara itu) dengan pengaruh Eropah.

Hampir setahun berbincang, menyelidik dan memerah otak, akhirnya impian kami membuahkan hasil. Meskipun sangat teruja, perasaan bimbang tetap tidak dapat dibendung.

Pengembaraan kami bermula dari Tangier. Selepas pengurusan sewa kereta selesai di Lapangan Terbang Ibn Battuta, Tangier, kami menuju ke destinasi pertama iaitu Chefchouen. Maghribi mengamalkan pemanduan belah kiri. Dalam tempoh penyesuaian memandu di sebelah kiri itu, beberapa kali kereta terarah ke kanan dan beberapa kali jugalah tayar belakang sebelah kanan disagat tebing jalan raya yang bergerigi.

Selepas lebih kurang setengah jam pemanduan, kami tiba di pekan Tafilalet. Kami berhenti untuk membeli kad sim tempatan dan mengisi perut. Keadaan di pekan Tafilalet meriah dan sesak, penduduknya sibuk membeli barang keperluan harian, tidak ubah seperti suasana di Pasar Sentul menjelang hari raya.


SINGGAH makan di Tafilalet. FOTO Hanim Mohd

Dalam perjalanan, kami perasan bunyi tayar agak kuat. Zarina berhenti di bahu jalan, tidak jauh dari sebuah pondok kecil tepi lereng bukit dan kedai makan. Kami dapati tayar sebelah kanan sudah kempes!

Kami cuba tukar sendiri tayar yang tercedera itu tetapi skru pada tayar sangat ketat dan kudrat kami berdua tidak memadai. Zarina menelefon syarikat sewa kereta tapi panggilan kami tidak berjawab.

Hati pula cemas kerana hari semakin gelap dan pondok kecil berdekatan sudah menyalakan lampu. Seorang lelaki tua memerhati kami dari dalam tetapi apabila kami cuba untuk berinteraksi dengannya, dia hanya berkata ‘laaq! laaq!!’ dengan isyarat tangan yang menunjukkan ‘tidak’!

Zarina menghubungi Mohamed iaitu Pengurus Dar Aldea (tempat penginapan kami di Chefchouen) dan meminta beliau bercakap dengan lelaki tua tadi. Selepas faham masalah kami, lelaki tua tadi keluar dan cuba untuk melonggarkan skru tayar kereta. Kami tidak dapat menahan senyum melihat gelagatnya.

Melihat lelaki tua itu bersama kami, barulah dua pemuda yang beberapa kali melintas depan kami datang membantu. Mereka memperkenalkan diri sebagai Hafid dan Taufeq. Rupanya, mereka segan kerana tidak fasih berbahasa Inggeris. Bahasa rasmi Maghribi adalah Arab dan Perancis. Dalam keadaan seperti itu, khidmat terjemahan Google sangat membantu dan kami berjaya berinteraksi dengan mereka. Alhamdulillah, tayar kereta berjaya diganti.

Kami bercadang meneruskan perjalanan tetapi malangnya, enjin pula tidak hidup akibat masalah bateri kerana kami sudah menyalakan lampu selama kami berhenti. Sekali lagi Hafid dan Taufeq menolong tanpa mahu menerima upah. Kami sungguh terharu dengan kebaikan mereka. Selepas berbincang, kami memberikan wang upah kepada lelaki tua dari pondok kecil itu.

Chefchouen

Akhirnya kami sampai di Chefchouen hampir jam 12 tengah malam. Mohamed menunjukkan bilik kami di tingkat atas. Dia memberitahu sarapan dihidangkan di ‘teres’ di luar bilik. Pagi berikutnya, isteri Mohamed, Ameena menghidangkan sarapan Maghribi yang terdiri daripada roti Arab, jus oren segar, buah zaitun, keju susu kambing, mentega, jem, amlou (mentega badam dan kacang argan), telur, kopi dan teh.

Chefchouen juga dikenali sebagai Mutiara Biru Maghribi kerana bandar ini dicat dengan pelbagai warna biru. Dar Aldea terletak di dalam ‘medina’ (bandar berkubu) dan tangga menuju ke arahnya dihiasi pasu bunga berwarna-warni sangat popular dalam kalangan pelancong untuk merakam kenangan.


PELBAGAI biru Chefchouen. FOTO Hanim Mohd

Hari itu kami teroka seluruh pelosok medina Chefchouen. Ameena berpesan supaya pulang untuk makan tengah hari kerana Jumaat adalah ‘Hari Kuskus’ dan kuskus dihidangkan secara percuma kepada tetamu.

Pengalaman merayau-rayau di medina itu sangat mengujakan. Ia seperti berjalan dalam lorong selirat atau lorong sesat. Lorong-lorong yang dilalui membawa kami ke kedai (souk) pasar atau bazar Arab yang menjual pelbagai barangan, kedai makan, bengkel hasil kerja seni dan produk kegunaan rumah. Kami pulang untuk menikmati kuskus dengan ayam yang dimasak dalam ‘tajin’ (periuk tembikar berbentuk kon). Ternyata Ameena memang mahir memasak.


SOUK di medina Chefchouen. FOTO Hanim Mohd

Kami keluar lagi pada lewat petang. Ketika itu kami sudah agak mahir dengan selok-belok medina Chefchouen. Lagak seperti penduduk tempatan, selepas menikmati makan malam di restoran tempatan, kami melepak di dataran bandar sambil menikmati siput rebus. Memang enak dan sangat sesuai dinikmati dalam cuaca sejuk waktu malam. Hampir seluruh pelosok medina kami teroka dan sungguh berpuas hati dengan aktiviti hari itu. Mungkin secara kebetulan, sarapan yang disediakan hari berikutnya saling tidak tumpah seperti sarapan semalam.


MEMBELI-BELAH di souk Chefchouen. FOTO Hanim Mohd

Rabat

Kami tiba di Rabat setelah memandu lebih 270 kilometer. Suasana trafik di ibu negara Maghribi itu sibuk ketika kami tiba pada lewat petang. Cahaya matahari sungguh terik walaupun dalam musim sejuk. Memandu di Rabat juga mencabar. Di situ kami bermalam di Riad Marhaba, juga terletak di dalam medina.

Selesai sesi menyegarkan badan di bilik, kami keluar untuk makan malam berdekatan medina. Ada banyak kedai makan yang menyajikan daging yang disediakan dalam pelbagai cara. Menariknya, kepala lembu dan kambing diperagakan di hadapan kedai masing-masing.


KUSKUS ayam yang lazat. FOTO Hanim Mohd

Volubilis dan Bhalil

Kami bergerak ke Meknes dan singgah di Volubilis yang terletak di bandar Moulay Idriss Zerhoun. Volubilis adalah kota runtuhan Rom yang diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO. Runtuhan yang tinggal sangat menakjubkan. Kami menghabiskan banyak masa di situ. Dari Volubilis, kami melalui lereng bukit yang panjang. Pemanduan memerlukan penumpuan yang jitu.

Selepas lama memandu, timbul keraguan sama ada kami melalui jalan yang betul. Kebimbangan berganda memandangkan kami tidak mempunyai tayar simpanan. Sepanjang perjalanan, kami tidak banyak berbual sehinggalah memasuki lebuh raya menuju Fes.


KOTA peninggalan ketamadunan Rom di Volubilis. FOTO Hanim Mohd

Di Fes, kami bertemu Hafid, ‘adiwira’ yang beriya-iya mahu kami bertemu keluarganya di Bhalil. Sebelum ini, kami tidak tahu pun kewujudan pekan Bhalil. Perjalanan dari Fes ke Bhalil memakan masa lebih kurang 30 minit.

Kami berkenalan dengan ibunya, Habibah, adik-adiknya, Abderahim dan Fateema. Kemesraan terjalin antara kami walaupun perbualan agak terbatas dek halangan bahasa.

Ibu Habibah mengundang kami makan tengah hari sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya. Melihat kesungguhannya, tidak sampai hati pula kami hendak menolak pelawaannya.


MAKAN sedulang beramai-ramai di Bhalil. FOTO Hanim Mohd

Fes

Kami berpatah balik ke Fes dan mendaftar masuk di Dar Fes Medina. Pengurusnya juga bernama Mohamed dan memberitahu kami bahawa medina di Fes yang dinamakan Fes el Bali adalah medina ‘pejalan kaki’ terbesar di rantau Arab. Oleh kerana ia paling besar, maka peluang untuk sesat di dalamnya juga sangat cerah.

Beliau mencadangkan kami mengupah pemandu arah tapi kami menolak. Selepas sarapan, iaitu sarapan yang sama seperti hari pertama di Maghribi, kami memulakan misi meneroka pasarnya. Pasar atau souknya diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO.


SESAT di medina Fes. FOTO Hanim Mohd

Fes lebih maju dan di sini, semuanya ada. Antaranya pusat penyamakan dan pembuatan barangan kulit yang tertua dan terbesar dunia. Malah bengkel membuat barang tembaga pun ada. Kalau hendak membeli cenderahati, di sinilah tempatnya. Beberapa kali kami sesat di dalam Medina Fes el Bali ini.

Bagaimanapun awas, ada ramai pemuda yang mahu menunjuk arah tetapi meminta upah yang tidak munasabah walaupun pada mulanya mereka kelihatan seperti hendak menolong dengan ikhlas. Dua kali juga kami terpedaya. Bagaimanapun, kami bertegas dan membayar upah yang dirasakan berpatutan sahaja. Mungkin inilah harga sebuah kemajuan. Apapun, perjalanan kami masih lagi panjang, jangan lupa ikuti sambungannya!

Anda ada cerita perjalanan atau percutian yang hendak dikongsikan dengan pembaca Metro Ahad? Apa tunggu lagi, kirimkan cerita menarik anda kepada kami di [email protected] atau [email protected]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 10:00 AM