bersama
Helmy Abd Rahman


‘KETAGIHAN’ memanjat gunung dan bukit bagi yang tahu, bukanlah satu dongengan. Malah minat terhadap aktiviti itu dikatakan sering ‘menjangkiti’ mereka yang rapat dengan si pendaki tegar terutama keluarga dan rakan taulan.

Itu yang berlaku kepada Che Adam A Rahman, 44, yang sanggup menjelajah ke seluruh pelosok dunia untuk melepaskan ‘giannya’.

“Di Malaysia, sudah lima kali saya tawan puncak Kinabalu sejak 1999 dan yang terbaharu sebelum Ramadan lalu.

“Selain Gunung Kinabalu, saya pernah mendaki banyak lagi gunung di negara ini, antaranya, Gunung Nuang, Korbu, Ledang, Stong, Tebu, Chemerong, Datuk, Angsi, Telapak Buruk dan banyak lagi hingga saya sendiri sudah lupa di mana.

“Mendaki gunung sudah menjadi kemestian kepada saya. Jika mempunyai tugasan atau kursus di negeri lain, saya akan mengenal pasti terlebih dahulu gunung di negeri berkenaan untuk ditawan, contohnya Gunung Chenderawasih di Perlis ketika mengikuti kursus di negeri itu pada 2017.

“Malah baru semalam (Rabu lalu) saya mendaki Bukit Bidong di Pulau Bidong bersama pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu.

“Gunung luar negara yang pernah didaki pula ialah di Pharak Peak dan Sherpa Peak di Banjaran Himalaya, Nepal pada 2008; Gunung Aconcagua, Argentina (2010); Gunung Rinjani, Indonesia (2013); Latimojong, Sulawesi, Indonesia (2017) dan

Gunung Silipat, Thailand (2018),” katanya.


BERSAMA anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu di Bukit Bidong, Pulau Bidong.

Minat Che Adam yang juga Pengarah APM Terengganu turut mempengaruhi isterinya, Dr Fauziah Mohd Dali, 44, dan dua anak lelaki mereka Adib Fauzan, 12, dan Adib Firdaus, 10, mencintai aktiviti berkenaan.

“Minat isteri timbul selepas dia mengikut saya mendaki Gunung Datuk di Rembau, ketika masih bertugas di Negeri Sembilan pada 2005.

“Anak-anak pula mula berjinak-jinak dengan aktiviti pendakian sekitar dua tahun lalu.

“Setiap minggu, sama ada Jumaat atau Sabtu, saya dan keluarga meluangkan masa selama sejam untuk menjalani rutin mingguan memanjat Bukit Besar di Kuala Terengganu.

“Sebenarnya pada Ramadan baru-baru ini juga kami ingin mendaki namun memandangkan bimbang kejadian yang tidak diingini berlaku, kami mengambil keputusan tidak mendaki sepanjang Ramadan dan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap amalan puasa dan solat Tarawih.

“Selain Bukit Besar, kami pernah bersama-sama mendaki Bukit Kluang dan Gunung Tebu, kedua-duanya di Besut,” katanya.

Menurut Che Adam, ramai kenalan bertanya padanya keseronokan menjalani aktiviti lasak itu.

“Jawapan saya mudah iaitu dengan menyuruh mereka mencuba sendiri aktiviti berkenaan untuk merasa nikmat mendaki.

“Kalau setakat cerita saja, tentu tidak sama dengan pengalaman sendiri.

“Kebiasaannya kalau sudah cuba memang tak nak tinggal aktiviti mendaki, lebih-lebih lagi apabila tubuh terasa semakin sihat dan segar.

“Bagi saya sendiri, gunung atau bukit sudah sebati dengan darah daging, hinggakan setiap bulan, mesti mendaki bukit.

“Biasanya Bukit Besar menjadi pilihan tetapi tidak menggunakan jalan bertar sebaliknya melalui denai belakang yang lebih mencabar,” katanya yang mula aktif memanjat gunung pada 1999 bermula dengan Gunung Kinabalu.

Menurutnya, sebagai anggota APM, kecergasan fizikal sangat penting dan aktiviti lasak itu amat bersesuaian untuknya mengekalkan kecergasan diri serta kesihatan.

“Aktiviti ini juga memberi contoh terbaik kepada semua anggota APM negeri,” katanya.

Menurutnya, selain beroleh kepuasan, dia dan keluarga menjalankan aktiviti senaman kardiovaskular yang boleh mengurangkan berat badan.

“Apa yang penting, tubuh yang dianugerahkan Allah ini dapat dijaga seberapa boleh dan aktiviti seperti ini dapat memastikan keadaan badan seterusnya sukar dijangkiti penyakit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 9:37 AM