Rosli Mohd Nordin


MINGGU lalu, dalam catatan kembara ke Maghribi saya berkongsi pengalaman dan aktiviti yang dilakukan di Casablanca dan Merzouga. Kali ini pula catatan sepanjang berada di Fes, Marrakesh dan Taroudant.

MARRAKESH

Populasi Marrakesh kira-kira 1.5 juta orang dan bandar dalam kota ini antara destinasi paling popular dikunjungi pelancong. Seperti kebanyakan kota dan bandar di negara Afrika Utara, Marrakesh memiliki dua bahagian utama iaitu Old Medina dan kota moden.

Marrakesh yang terletak di kaki Pergunungan Atlas mendapat nama jolokan Mutiara Dari Selatan, Bandar Tembok Merah dan Bandar Batu-Bata selain bandar keempat terbesar selepas Casablanca, Fez and Tangier. Perkataan Marrakesh berasal daripada bahasa Berber yang bermaksud negeri Tuhan dan bandar purba ini memiliki pasar Berber atau souk yang terbesar di Maghribi iaitu Jemaa el-Fnaa.

JEMAA EL-FNAA

Jemaa el-Fnaa adalah kawasan bazar (souk) di Old Medina yang menjual pelbagai jenis barangan keperluan harian penduduk tempatan dan pelancong asing seperti barangan kulit, rempah ratus, perhiasan rumah, perkakasan dapur (peralatan memasak khususnya bekas Tajine), barangan tembaga, permaidani, barangan penjagaan diri dan pelbagai barangan lain.

Di Jemaa el-Fnaa ini anda boleh memulakan kembara dengan mencuba pelbagai seleksi jus buah segar yang tidak dicampur gula, antaranya strawberri, oren, tembikai, avocado, nanas, limau gedang (grapefuit) dan buah delima. Murah (sekitar RM5 segelas), enak dan menyegarkan. Usai saja menikmati kesegaran jus buah delima, saya bergerak menerokai pelbagai kedai yang terdapat di lokasi berkenaan. Rasanya jika diberi masa untuk singgah ke setiap ratusan kedai di Old Medina ini, anda memerlukan sekurang-kurangnya dua hari bagi menyudahkan kunjungan.


PENULIS (berdiri, paling kanan) bergambar dengan sebahagian para pelajar Malaysia di Fes, Maghribi.

MASJID KOUTOUBIA

Di Marrakesh juga, anda boleh berkunjung ke Masjid Koutoubia iaitu masjid terbesar di bandar berkenaan. Masjid yang berinspirasikan seni bina Giralda of Seville di Sepanyol ini sangat unik kerana dibina menggunakan material daripada bata merah.

Pembinaannya pula dikatakan berlaku pada zaman pentadbiran Almohad Caliph Yaqub al-Mansur (1184-1199). Keunikan masjid yang mampu menampung 25,000 jemaah dalam satu-satu masa ini terletak pada menaranya yang setinggi 77 meter. Di zaman dahulu, bilal akan menunggang kuda ke atas menara masjid bagi melaungkan azan.

MASJID DAN MEDRASA BEN YOUSSEF

Kehebatan seni bina Masjid dan Medrasa Ben Youssef sememangnya tidak boleh dipertikaikan, binaan yang didominasi jubin berwarna hijau dan putih mutiara ini menjadi masjid tertua di Marrakesh. Dibina pada abad ke-12 ketika pentadbiran Almoravid Sultan Ali ibn Yusuf. Oleh kerana pelbagai faktor khususnya cuaca sehingga sesetengah binaan runtuh, saiz masjid ini kini hanyalah separuh daripada saiz asal.

Pada 1560, Saadian Sultan Abdallah al-Ghalib membuat penambahbaikan kepada binaan masjid ini termasuk membina perpustakaan di dalam masjid tersebut selain bilik khas untuk pelbagai aktiviti ibadat umat Islam. Selain Masjid Ben Youseff, anda juga boleh melawat Masjid Kasbah, Masjid Mouassine, Istana El Badi, Istana Bahia, Istana Diraja, Muzium Marrakesh dan pelbagai lagi destinasi atau premis pelancongan di Marrakesh.


SERAMIK pelbagai corak menjadi tarikan utama kepada para pelancong yang berkunjung ke Old Medina di Marrakech.

EKSPLORASI MINYAK ARGAN DI TAROUDANT

Kepada pengembara yang gemar menerokai rahsia kecantikan orang tempatan, pastinya anda ingin melihat sendiri ladang dan proses membuat minyak argan. Selepas hampir lima hari berada di Marrakesh, saya dan rakan kembara bergegas ke sebuah lagi lokasi pelancongan bagi melihat sendiri ladang pokok argan dan kilang minyak Argan di Essouira dan Taroudant. Pokok argan hanya boleh ditemui dan ditanam secara komersial di Maghribi.

Minyak argan juga boleh diminum begitu saja dengan roti atau dijadikan ramuan dalam pelbagai menu masakan enak orang Maghribi.

KEMBARA DI FES

Antara keistimewaan melancong ke bumi Maghribi pastinya bandar Fes. Ia satu lagi destinasi wajib dikunjungi sang pengembara. Di Fes anda boleh melihat sendiri proses membuat jubin atau seni hiasan seramik berwarna-warni yang dikenali sebagai Zellij.

Zellij antara identiti Maghribi dan digunakan secara meluas sebagai hiasan di permukaan lantai, dinding, tiang (ruang tamu, bilik makan, tempat beribadat dan bilik mandi) dan peralatan rumah seperti meja makan dan sinki serta peralatan hiasan. Menurut pelajar Universiti Sidi Mohamed Ben Abdellah (Fes), Ahmad Irfan Mohd Yusob yang menjadi pemandu pelancong saya di bandar berkenaan, pembuatan Zellij amat rumit.


ROSLI bergambar bersama pekerja di tempat pembuatan kulit haiwan yang dikenali sebagai tannery.

TANNERY

Ketika di Fes, saya berkesempatan melihat sendiri tempat perusahaan kulit yang dikenali sebagai Tannery. Kaedah memproses kulit kambing, lembu, unta dan kuda masih menggunakan kaedah konvensional iaitu menggunakan tenaga manusia sepenuhnya. Proses merendam kulit mentah haiwan menggunakan tahi burung merpati boleh dilihat di pelbagai tempat di Fes. Merendam kulit haiwan dalam kolam-kolam kecil mengambil masa berbulan-bulan lamanya.

Selepas proses merendam kulit tersebut sempurna, ia akan diwarnakan menggunakan bahan semula jadi seperti serbuk batu, kulit kayu, daun dan bunga. Kulit berkenaan akan dikeringkan dan akan melalui beberapa proses menghalus dan memotongnya kepada pelbagai saiz sebelum dijadikan sama ada beg tangan, dompet, tali pinggang, jaket dan sebagainya. Harga bagi sebuah beg kulit berkualiti tinggi RM40 saja. Jangan lupa memborong pelbagai produk berasaskan kulit di Fes kerana ia sangat berbaloi untuk dijadikan buah tangan kepada sanak saudara dan sahabat handai.

UNIVERSITI AL-KARAOUINE (MASJID)

Universiti Al-Karaouine atau Al-Qarawiyyin (pelbagai versi nama universiti ini ditulis iaitu Qarawiyin, Kairouyine, Kairaouine, Qairawiyin, Qaraouyine, Quaraouiyine, Quarawin dan Qaraouiyn) ialah universiti tertua di dunia. Ia dibina pada 859 dan menjadi pusat pendidikan dan kerohanian utama di dunia Islam hingga kini. Menurut Imam Masjid Al-Karaouine, Abdul Majid, universiti ini tidak saja berfungsi sebagai pusat pendidikan tinggi, malah ia juga sebagai pusat ibadat umat Islam.


SELAIN unta, penduduk Maghribi juga menjadikan kuda sebagai pengangkutan

MADRASA ATTARINE

Madrasah (madrasa) ini dibina pada abad ke-14 pada zaman Dinasti Marinid yang memerintah Maghribi dari abad ke-13 hingga ke-15. Ia adalah pusat pembelajaran keagamaan (Islam) terbaik di Fes suatu ketika dahulu. Pembinaannya diarahkan oleh Sultan Abu Sa’id Uthman II sekitar 1323-1325.

Maksud nama madrasah ini ialah madrasah yang wangi, ini berikutan lokasinya popular bagi pusat jualan minyak wangi dan rempah ratus.

Keunikan seni bina madrasah ini terletak pada hiasan Zellij dan ukiran kayu serta asimilasi seni bina purba. Madrasah ini suatu ketika dahulu popular melahirkan cendekiawan Islam yang hebat kerana fungsinya sebagai pusat pembelajaran dan pengembangan ajaran Islam yang mengandungi ruang solat, bilik kuliah dan asrama pelajar. Kini Madrasa Attarine hanyalah legasi keagungan Islam yang menjadi tumpuan kunjungan pelancong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 5:31 AM