MATTHEW bersama komuniti larian KLCC Runners Group.
Helmy Abd Rahman


TAK kenal maka tak cinta. Ungkapan itu 100 peratus tepat ditujukan kepada Matthew Barsing yang asalnya cuma berniat untuk bercuti selama 10 hari di negara ini.

Namun, takdir menentukan lelaki berusia 49 tahun berasal dari Gold Coast, Australia ini bukan sahaja jatuh cinta dengan pelbagai keunikan dan keistimewaan Malaysia, malah bertemu jodoh dengan wanita tempatan.

Bila kali pertama anda menjejakkan kaki ke Malaysia dan bagaimana boleh mengambil keputusan menetap di sini?

Pada 2001 saya datang bercuti selama 10 hari dan sepatutnya pulang semula ke Australia.

Bagaimanapun sepanjang percutian itu saya mula jatuh hati dengan kehidupan di negara ini.

Penduduk tempatan sangat baik dan mesra membuatkan saya tidak berasa asing dengan Malaysia.

Saya juga amat tertarik dengan keunikan pelbagai etnik yang ada di sini dan paling utama pastinya pelbagai makanan enak yang ada.

Selepas berfikir masak-masak, saya ambil keputusan menetap di sini. Memang saya tak sangka langsung dalam tempoh hanya 10 hari, Malaysia ‘melekat’ di jiwa saya.

Beberapa bulan selepas menetap di sini, saya bertemu dengan isteri dan pada 2003 saya ambil keputusan mengahwininya dan memeluk Islam.

Sebelum tiba di negara ini apa yang anda tahu mengenai Malaysia?

Sebenarnya saya mempunyai rakan di sini dan dia selalu mengajak saya datang ke Malaysia, tapi sejujurnya, saya ketika itu tidak begitu tahu mengenai negara ini dan budaya orang Asia.

Akhirnya saya terima pelawaan rakan datang ke mari.

Bila menjejakkan kaki ke sini, baru saya tahu mengenai keunikan budaya masyarakat Malaysia dan terus jatuh cinta.

Boleh anda kongsikan pengalaman menarik sepanjang berada di negara ini?

Selain bertemu jodoh, saya amat bersyukur dan teruja apabila mendapat idea menubuhkan komuniti larian KLCC Runners Group sekitar tiga tahun lalu. Kalau diikutkan ia bermula sejak 2012 lagi ketika berat badan saya mencecah 100 kilogram (kg).

Memikirkan mengenai kesihatan diri, saya ambil keputusan berlari di sekitar KLCC (Menara Berkembar Petronas) dengan ditemani dua rakan.

Pada 2016, saya beranikan diri menyertai ‘half-marathon’ dan bertitik-tolak daripada itu, saya mendapat ilham komuniti KLCC Runners Group.

Saya juga pernah berkhidmat selama lima tahun sebagai Ketua Pelaburan Asing di MDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia). Tugas saya ketika itu antara lain untuk mempromosikan pelaburan asing di negara ini dan bagi saya pengalaman itu amat menarik dan tak akan dilupakan.

Pengalaman getir yang pernah dilalui sepanjang menetap di sini?

Sejujurnya, saya tidak pernah berdepan masalah besar sepanjang menetap di Malaysia.

Rakyat negara ini sangat mesra dan ramah, tidak timbul perbezaan ketara walaupun negara ini dihuni pelbagai bangsa dan keturunan.

Apa makanan tempatan yang menjadi kegemaran anda?

Saya amat menggemari rendang daging, kari laksa dan nasi bujari.

Tempat paling anda gemari di negara ini?

Tentunya KLCC. Ini tempat saya mula berjinak-jinak dalam penjagaan kesihatan dan hampir setiap hari saya berlari di kawasan ini.

Malaysia pada pandangan anda?

Antara yang paling menarik bagi saya adalah keunikan budaya yang pelbagai, namun masyarakat dapat bertolak-ansur antara satu sama lain. Masyarakat di sini juga amat ramah dan mudah untuk menghulurkan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 5:40 AM