MOHD Alfrizan dan Mohd Aliff melihat burung medium sulphur-crested yang diternak.
Ahmad Rabiul Zulkifli


BAGAIKAN isi dengan kuku. Itulah ungkapan paling sesuai menggambarkan kemesraan dan persefahaman dua beradik ini.

Mohd Alfrizan Mohd Najid, 40, dan adiknya Mohd Aliff, 34, dari Kampung Buluh Gading, Kuala Terengganu berkongsi minat sama iaitu menternak pelbagai jenis burung sejak hampir 20 tahun lalu.

Minat itu kemudian dikembangkan menjadi perniagaan dan kedua-duanya kini boleh dikatakan mempunyai pendapatan selesa menerusi aktiviti penternakan burung.

Mohd Alfrizan berstatus orang kurang upaya (OKU) selepas terbabit kemalangan pada 1999 dan dengan bantuan Mohd Alif, kini mengusahakan penternakan burung pelbagai jenis antaranya dari spesies serindit iaitu budgerigar dan lovebird.

Dua beradik itu membelanjakan lebih RM50,000 menyediakan sangkar bersesuaian bagi kegiatan berkenaan malah memperuntukkan RM2,000 sebulan untuk menampung perbelanjaan makanan dan ubat-ubatan untuk ternakan kira-kira 80 ekor burung itu.

Benarlah kata orang, nasib kurang baik kadang kala boleh menjadi pemangkin paling berkesan dan itulah yang dialami Mohd Alfrizan.

Mohd Alfrizan atau ‘Mat Jan’ berkata, selepas kemalangan, kaki kanannya tidak berfungsi dengan baik menyebabkan dia tidak mampu meneruskan pekerjaannya sebagai juruteknik pendingin udara.


ANAK burung lovebird ini mempunyai warna bulu yang menarik.

“Bermula dari situ, saya dan Mohd Alif yang ketika itu belum berkerja berpakat menjalankan kegiatan penternakan burung budgerigar secara serius sehingga kami menjadi penternak paling banyak menternak dan memasarkan burung jenis itu.

“Kami berdua sanggup merantau ke Kuala Lumpur, Perak dan Kelantan bagi mempelajari selok-belok penternakan dua jenis burung ini.

“Selain menjualnya di kedai burung berdekatan, kami juga jual melalui dalam talian.

“Pelanggan kami terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan dari seluruh Malaysia,” ujarnya.

Tambahnya, selain budgerigar dan lovebird, dia serta adiknya membelanjakan kira-kira RM40,000 untuk membeli induk burung eksotik antaranya green wing macaw dan blue and gold macaw iaitu daripada spesies kakaktua.

“Kami sentiasa bekerjasama dalam memastikan semua ternakan diurus dengan baik dan makanan ternakan paling dititikberatkan bagi memastikan semua burung sihat serta dapat membiak dengan baik.

“Segala prosedur dan peraturan ditetapkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dipatuhi, termasuk soal lesen ternakan bagi jenis burung yang dilindungi,” katanya yang menjalani pembedahan kaki kanan kerana masalah saluran darah pada 13 Mei lalu.

Mohd Aliff pula berkata, memandangkan abangnya mengalami masalah pergerakan terhad, tugas membabitkan proses pengurusan ternakan di sangkar terutama membabitkan ternakan yang cerewet seperti kakaktua, digalas di atas bahunya.

“Burung budgerigar dan lovebird senang diuruskan kerana hanya memakan sejenis makanan iaitu sekoi berbanding baka kakaktua yang memakan jagung mentah, kacang tanah, epal dan betik.

“Bagaimanapun kedua-dua jenis ternakan itu memberi pulangan yang lumayan sekiranya berjaya dijual terutama kakaktua.


TELUR burung lovebird di dalam kotak khas disediakan untuk pembiakan.

“Namun bukan mudah untuk membiak burung kakaktua yang agak cerewet dan tidak sama dengan burung biasa.

“Kami terpaksa mencipta suasana hutan yang sebenar di dalam sangkar bagi memastikan ia membiak seperti di habitatnya dan paling lama sepasang burung kakaktua bertelur selepas empat tahun diternak.

“Sekarang ini saya dan abang lebih banyak memberi tumpuan kepada burung budgerigar dan lovebird kerana ia mendapat permintaan tinggi selain senang dibiakkan berbanding kakaktua,” jelasnya.

Menurut lelaki itu, dia dan abangnya sebelum ini menternak lebih 30 burung kakaktua pelbagai spesies antaranya jenis macaw, greater sulphur, ducorps dan medium sulphur-crested namun terpaksa dikurangkan.

“Kami membelanjakan wang yang banyak bagi mendapatkan sepasang induk kakak tua berkualiti.

“Bayangkan, kami pernah beli sepasang baka macaw yang masing-masing berharga RM24,000 dan RM18,000.

“Bukan saja duit banyak dihabiskan, malah tenaga dan masa juga perlu dikorbankan bagi memastikan ia membiak dengan baik,” katanya.

Jelasnya, setiap hari dia menguruskan ternakan seawal jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dengan membersihkan najis burung di dalam sangkar terlebih dulu sebelum memberi makan dan minum kepada ternakan.

Sementara itu bapa dua beradik itu, Mohd Najid Endut, 65, berkata dia sentiasa menyokong minat kedua-dua anaknya itu, lebih-lebih lagi ia bukan sekadar hobi biasa tetapi mendatangkan pulangan lumayan.

“Saya tak kisah anak membelanjakan banyak wang untuk menjalankan kegiatan penternakan ini kerana ia memberi pulangan yang berpanjangan dan berbaloi dengan usaha keras mereka.

“Mungkin harga setiap burung cuma dijual RM20 hingga RM50 sepasang tetapi sekiranya dapat menjual dengan jumlah yang banyak, pasti memberikan hasil lebih berbanding kerja makan gaji,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana kedua-dua anaknya itu bersepakat dalam menjalankan kegiatan penternakan sekali gus dan diuruskan tanpa sebarang masalah.

“Sebagai bapa saya juga terbabit secara langsung dengan kegiatan mereka kerana ada waktu mereka berdua terpaksa ke luar daerah untuk menjual atau membeli burung baharu dan sayalah mengambil alih memberi makan dan menguruskan ternakan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 6:00 AM