BERPENGALAMAN lebih 40 tahun sebagai zoologis membolehkan Azman dengan mudah berkomunikasi dengan haiwan.
Helmy Abd Rahman

TIDAK terlintas langsung di fikirannya akan menjadi ‘watak’ penting dalam bidang penjagaan haiwan dan pengurusan zoo di rantau Asia Tenggara apabila dia mengambil keputusan berkhidmat di Singapore Zoological Garden, 41 tahun lalu.

Bagi Azman Ghazali, 61, banyak yang dipelajarinya daripada haiwan, namun paling dihargainya apabila dia dapat menukar sikap daripada pemarah dan bengis kepada lebih tenang serta berdisiplin.

Menceritakan detik mula menceburi bidang berkenaan, lelaki lahir pada tanggal 15 Mei 1958 ini menjelaskan, dia bermula sebagai pekerja sambilan sesudah selesai MCE (kini dikenali Sijil Pelajaran Malaysia) pada 1975.

“Ketika itu saya tinggal dengan bapa yang kebetulan bertugas di bahagian keselamatan di zoo berkenaan selepas arwah tamat perkhidmatan sebagai polis.

“Saya bermula dalam bidang zoologi dari bawah. Mulanya saya bekerja secara sambilan sebelum diambil bekerja dengan gaji 120 dolar Singapura sebulan, rendah saja.

“Kerja ini memang kotor dan berat tapi memandangkan minat dalam bidang ini semakin berkembang, saya teruskan dan tolak peluang sambung belajar. Tidak lama kemudian majikan menyediakan kursus penjagaan binatang.


AZMAN memberi makan burung yang dipanggil menggunakan wisel.

“Dulu ketika muda saya panas baran orangnya, tapi bila diberi tanggungjawab jaga binatang saya jadi lebih tenang dan ketika itu saya tahu sudah membuat keputusan tepat berkecimpung dalam bidang ini,” katanya.

Menurut Azman, dia bertugas selama 16 tahun di Singapore Zoological Garden sebelum mengambil keputusan mencuba cabaran baru selepas ditawarkan bekerja sebagai penasihat zoo di Bangkok Safari World di Thailand pada 1989.

“Di sana tugas utama saya ada dua. Saya bertugas untuk memantau perjalanan di bahagian pertunjukan haiwan dan menjaga bahagian zoologi.

“Ketika di sana juga saya mendapat anak pertama, Shakir yang kini sudahpun berusia 29 tahun. Shakir dibesarkan di safari berkenaan dan memang amat sukakan binatang sama seperti saya,” katanya yang berasal dari Jasin, Melaka.

Menurutnya lagi, dia juga sering ditugaskan untuk menguruskan pembelian haiwan dari Afrika selain mengawal selia pembinaan kandang.

“Ketika itu saya selalu ke sana ke sini untuk menguruskan pembelian binatang,” katanya.

Tambah Azman, sepanjang 22 tahun di Bangkok Safari World, pengalaman paling tidak dapat dilupakannya

adalah ketika berlaku banjir besar di Bangkok pada 2011.

“Bayangkan bagaimana nak alihkan bukan seekor tapi 100 ekor zirafah ke tempat lebih tinggi. Itu belum binatang lain lagi. Tapi alhamdulillah, kerana pengalaman yang ada, saya dapat juga selesaikan tugas itu dengan baik walaupun ia kali pertama dihadapi sepanjang saya bertugas di zoo.

“Itulah pengalaman yang paling saya tak dapat lupakan sampai bila-bila. Menjadi zoologis memerlukan kita peka dan berfikir dengan cepat untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

“Jika mampu jadi yang terbaik, kamu boleh dapat habuan dalam bentuk gaji yang lumayan, boleh mencecah sehingga lima angka. Tapi ia bukan mudah dan perlu dibuktikan bahawa kamu yang terbaik,” ujarnya.


AZMAN bersama isteri, Asmah Yusuff, 50, (dua dari kiri) dan anak, Shakir (dua dari kanan) dan Shabri (kiri).

Pada 2012, katanya, dia mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air dan bertugas sebagai Pengarah di Zoo Melaka selama setahun bermula 2013. Dia kemudian bertugas sebagai Pengurus Operasi di Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir, Terengganu pada 2015 sehingga 2016.

Azman kini menjawat jawatan sebagai Pengurus Taman Hidupan Liar Sunway Lagoon yang baginya mempunyai tarikan tersendiri.

“Taman ini boleh dianggap sebagai zoo butik dan perkara yang menjadi keutamaan adalah untuk memberi pendidikan kepada orang ramai menyayangi hidupan liar serta mengenali binatang dengan lebih rapat.

“Kami merancang pelbagai aktiviti menarik seperti pengunjung boleh mendapatkan perkhidmatan renjer untuk menjadi penunjuk arah dan berkongsi maklumat berkenaan haiwan yang terdapat di sini,” tambahnya.

Tugas sebagai zoologi ternyata memberi impak dan pengaruh besar terhadap keluarganya apabila dua anak lelakinya kini juga bertugas di zoo.

“Anak yang sulung, Shakir kini bertugas di Singapore Zoological Garden dan mengkhusus dalam penjagaan burung, manakala yang kedua, Shabri (24 tahun) menjadi penjaga haiwan di Zoo Melaka,” ujarnya.

Ditanya impiannya, dengan nada jelas Azman memberitahu dia berharap mampu mengangkat martabat Zoo Melaka sebagai antara yag terbaik di rantau ini walaupun kini tidak lagi bertugas di situ.

“Pada usia ini, saya juga amat berharap dapat memindahkan pengetahuan dalam bidang ini kepada generasi lebih muda sebagai pelapis,” katanya yang paling menggemari orang utan dan monyet.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 5:00 AM