Agensi

BANDAR raya ini pernah dianggap sebagai simbol kemajuan industri pembuatan dan pemodenan Amerika Syarikat (AS) tetapi kemelesetan ekonomi dan kerajaan yang korap menjadikan Detroit sebuah bandar hantu dengan puluhan ribu bangunan dibiarkan usang.

Satu masa dahulu, Detroit adalah hab pengeluaran kereta utama di AS dan pada zaman kegemilangannya ia mendapat jolokan Bandar Raya Pemotoran.

Bagaimanapun, industri pembuatan itu dilanda kemerosotan pada 2008 dan ia diburukkan dengan krisis kewangan pada 2013 yang menyebabkan bandar raya itu muflis.

Kini ratusan bangunan yang pernah mengecapi kegemilangan di Detroit terbiar dan usang termasuk kilang, gereja, dewan besar, hotel, sekolah, stesen kereta api serta hospital.

Bangunan terbiar yang menakutkan itu menjadi subjek jurugambar Kyle Brooky untuk buku terbarunya bertajuk, Abandoned Detroit.

HAMPIR keseluruhan rumah di kawasan perumahan ini tidak berpenghuni selepas penduduknya berhijrah.

Buku yang bakal dilancarkan pada Mac ini memaparkan 200 gambar berwarna bangunan tinggal di Detroit sebagai memperingati bandar raya itu yang terkenal dengan sejarah muzik dan kereta ‘muscle’.

Kemasyhuran dan kejatuhan Detroit pada abad ke-20 didokumentasi dengan teliti oleh ahli sejarah, pakar ekonomi dan ahli antropologi bandar.

Bandar di negeri Michigan itu tumbang selepas bertahun-tahun bergelut dengan kemerosotan sumber, kerajaan yang korup dan penghijrahan penduduk bagi mencari pekerjaan serta peluang baru susulan kejatuhan industri pembuatan.

BUKU masih tersusun di rak yang dirakamkan di sebuah perpustakaan.

Keadaan itu menjadikan Detroit yang satu masa dahulu makmur dan kaya kini berada dalam keadaan menyedihkan apabila penduduknya dihimpit kemiskinan, kekacauan dan keganasan.

Detroit ketika zaman kemuncaknya pada 1950-an adalah bandar keempat terbesar di AS dengan mempunyai kira-kira 1.85 juta penduduk namun ia kini dianggarkan terdapat 70,000 bangunan terbiar, 31,000 rumah tiada penghuni dan 90,000 lot kosong.

“Pada satu masa dahulu Detroit adalah simbol kemajuan industri dan pemodenan negara tetapi kini ia sebuah bandar hantu,” kata Brooky.

KEADAAN dewan di sebuah sekolah menengah yang ditinggalkan kerana tiada pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 2:43 PM