PAKAR fisioterapi Bulan Sabit Merah di Kabul membantu seorang kanak-kanak memakai kaki prostetik berjalan.
PAKAR fisioterapi Bulan Sabit Merah di Kabul membantu seorang kanak-kanak memakai kaki prostetik berjalan.
Agensi

PEPERANGAN selama beberapa dekad di Afghanistan bukan saja membawa kemusnahan besar di negara itu selain mengorbankan ratusan ribu nyawa, malah turut menyebabkan bala kepada penduduknya, termasuk kanak-kanak yang kehilangan anggota badan.

Sejak 30 tahun lalu, program ortopedik Bulan Sabit Merah di Kabul merawat lebih 180,000 pesakit, termasuk membekalkan anggota palsu kepada mereka.

Setiap ruang di Pusat Ortopedik Bulan Sabit Merah Afghanistan sesak dengan mangsa yang cedera akibat peperangan selain individu yang lahir cacat atau disebabkan kemalangan.

Masing-masing mempunyai kisah tragis sendiri, namun enggan dianggap sebagai mangsa, sebaliknya mahu hidup berdikari tanpa ihsan orang lain.

PESAKIT, Omaidullah hilang kaki kanan akibat ditembak beberapa kali.
PESAKIT, Omaidullah hilang kaki kanan akibat ditembak beberapa kali.

Pakar fisioterapi, Shukrullah Zeerak, antara pesakit yang dirawat di pusat ortopedik itu selepas kehilangan satu kaki akibat terpijak periuk api berhampiran rumahnya di Kabul ketika berusia 17 tahun.

“Saya bogel kerana semua pakaian terbakar. Muka melecur. Ketika hendak bangun, saya dapati satu kaki sudah tiada.

“Ketika itu, saya berasa seperti tidak lagi mahu hidup kerana menganggap masa depan sudah gelap dan tiada harapan,” katanya kepada Al Jazeera.

Kecewa kerana cacat, Shukrullah berazam tidak pulang ke rumah sehingga dia mampu berjalan dengan sempurna dan mendapatkan bantuan di pusat ortopedik berkenaan.

Sebaik dibenarkan pulang dari hospital, Shukrullah menaiki bas ke bandar Mazar-i-Sharif, menempuh perjalanan selama 19 jam.

Ketika itu, kecederaannya belum sembuh sepenuhnya, namun Shukrullah mendesak kakitangan pusat berkenaan memasangkan kaki prostetik.

JURUTEKNIK memberi sentuhan akhir pada kaki prostetik seorang pesakit.
JURUTEKNIK memberi sentuhan akhir pada kaki prostetik seorang pesakit.

“Saya tidak mahu menjadi bebanan kepada keluarga, saya mahu berdikari.

“Saya nekad membantu diri sendiri dan keluarga. Inilah keputusan yang saya buat sebelum keluar dari hospital,” katanya.

Shukrullah kemudian ditawarkan pekerjaan sebagai pakar fisioterapi di Pusat Ortopedik Palang Merah di Kabul.

Sejak 25 tahun lalu, lelaki itu membantu individu yang kehilangan anggota badan sepertinya, menempuh kehidupan yang lebih baik.

“Saya bangga dan berasa seperti tidak cacat, malah gembira dapat meringankan bebanan orang lain.

“Setiap hari, saya membantu antara tiga hingga lima orang. Salah seorang daripada mereka pasti mempunyai masa depan lebih baik.

“Ada kalanya, mereka datang memeluk saya dan berkata saya mengubah hidup mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 9:41 AM