RAIFAL digantung di dinding manakala peluru disusun kemas di rak. FOTO Agensi
AFP

PASAR lama Al-Shinayni yang terletak di tengah Taez, bandar ketiga terbesar di Yaman dahulunya terkenal dengan barangan kraf tangan, fabrik dan tembikar, tetapi perang saudara yang berlarutan menukar pusat beli-belah itu menjadi pasar senjata api.

Yaman terjerumus ke dalam kancah perang sejak pemberontak Houthi menawan ibu kota Sanaa pada lewat 2015 dan beberapa bulan kemudian tentera pakatan diketuai Arab Saudi melancarkan operasi untuk menguasai semula negara itu.

Taez di barat daya Yaman dikuasai tentera kerajaan, tetapi dikepung pemberontak Houthi yang mengebom bandar yang mempunyai 615,000 penduduk itu hampir setiap hari.

Sebelum ini, sudah menjadi kebiasaan penduduk di Yaman antara negara Arab paling miskin, membawa senjata api dan perniagaan senjata api adalah sesuatu yang biasa.

Bagaimanapun, perang itu menyebabkan pasaran senjata api melonjak mengakibatkan perniagaan tradisional dipinggirkan.

“Dahulu pasar lama ini kebanyakannya menjual kraf tangan yang dibuat tukang besi, tukang jahit dan tukang tembikar.

“Apabila perang meletus, kebanyakan peniaga di sini bertukar menjual senjata api dan sebahagian pula melarikan diri serta menutup perniagaan mereka,” kata tukang jahit, Abu Ali yang kini menjual senjata api.

Baju celoreng, jaket taktikal dan topi keledar tentera sering dipamerkan di luar gerai di pasar ini.

Di dalamnya kelihatan raifal AK47 dan senjata lain digantung di dinding manakala peluru serta peluru mortar pula disusun kemas di rak.


JAKET taktikal tentera yang dijual di sebuah kedai di pasar Al-Shinayni. FOTO Agensi

Selaras raifal AK47 dijual pada harga AS$1,090 (RM4,485), sepucuk pistol berharga AS$818 (RM3,366) dan harga sebutir peluru pula tidak sampai AS$1 (RM4.11).

Sama seperti Abu, perang itu memaksa seorang peniaga kraf tangan, Mohammed Tajer menukar perniagaan dengan menjual senjata untuk mencari rezeki.

“Sebelum perang, perniagaan kami berjalan dengan baik. Apabila perang tercetus kami terpaksa menjual peluru dan senjata. Sekiranya konflik ini tamat kami akan kembali ke perniagaan lama,” katanya.

Krisis di Yaman itu turut mencetuskan krisis kemanusiaan yang dianggap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai terburuk di dunia dengan lebih 24 juta penduduk negara itu memerlukan bantuan.

Berpuluh-puluh ribu penduduk kebanyakannya orang awam terbunuh sejak Mac 2015 apabila tentera pakatan diketuai Arab Saudi melancarkan serangan untuk mengembalikan pemerintahan Presiden Abedrabbo Mansour Hadi.

Taez tidak terkecuali daripada keganasan itu.

Berpuluh-puluh penduduk di Taez termasuk kanak-kanak terbunuh pada awal tahun ini dalam pertempuran antara kumpulan pemberontak dan tentera yang setia dengan kerajaan.

Seorang lagi peniaga, Abid al-Rashdi masih menjual barangan kraf tangan di pasar itu, tetapi memberitahu, dia sukar untuk mengekalkan perniagaannya.

“Sejak lima tahun lalu, tukang besi dan pembuat tembikar terjejas teruk akibat perang manakala perniagaan senjata api melonjak,” jelasnya.


PERANG menjadikan perniagaan senjata api di Yaman melonjak. FOTO Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 9:00 AM
Skip this ad x