LIMEI mahir menggunakan pisau dapur.
Agensi

USIANYA baru enam tahun, namun kanak-kanak comel dari Hunan ini sudah menguruskan keluarganya sehingga mahir menggunakan pisau dapur seperti cef.

Liu Limei mula belajar memasak selepas ibunya menghilangkan diri dan pengalaman itu membolehkan dia menghasilkan seni potongan sayuran dan buah-buahan menarik.

Rakaman video Limei menunjukkan bakatnya dimuat naik Pencil Videos dalam media sosial, seterusnya menjadi bualan hangat netizen.

Berdasarkan video itu, Limei menghasilkan pelbagai corak, tumbuhan dan haiwan daripada sayuran dan buah-buahan.

Dia kini mempunyai lebih 200,000 pengikut di Weibo, lapor The Epoch Times.

Namun di sebalik bakatnya yang unik itu sebenarnya tersirat kisah duka apabila kanak-kanak itu terpaksa menggalas tanggungjawab membantu bapanya menguruskan adik lelaki berusia tiga tahun yang sakit selepas ibunya meninggalkan mereka bertiga kerana tidak tahan dengan kemiskinan.

Adiknya menderita penyakit epilepsi ketika berusia setahun sebelum disahkan menghidap Acute Lymphoblastic Leukemia pada sambutan Tahun Baru Cina tahun lalu.

Menurut Pencil Videos, Limei sendiri turut menghidap masalah pembuluh darah Henoch-Schonlein purpura dalam buah pinggangnya.

Belanja perubatan dua kanak-kanak berkenaan membebankan ibu bapa mereka menyebabkan ibunya yang bekerja di sebuah bandar besar di China akhirnya mengambil keputusan menghilangkan diri.

Bagi meringankan bebanan bapanya, Limei terpaksa melakukan kerja rumah, menjaga adiknya dan memasak.

Bapanya pada mulanya cuma memuat naik kisah mengenai dua anaknya yang sakit sebelum kebetulan pada satu hari memaparkan bakat unik Limei, seterusnya

mendapat lebih ramai peminat apabila videonya ditonton ramai warganet.

Susulan itu ada peminatnya mendermakan pakaian, mainan dan makanan kepada keluarga itu, malah usaha mengumpulkan wang oleh pengguna Internet berjaya meraih sehingga 800,000 yuan (RM474,942.62). Dengan bantuan itu, Limei bakal kembali bersekolah tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 10:17 AM