COSPLAYER yang hadir untuk pertandingan.
COSPLAYER yang hadir untuk sesi penggambaran.
PEMENANG (berdiri belakang) bergambar kenangan.
Hazril Md Nor
Gen.y@hmetro.com.my


Seminggu sebelum penganjurannya, pesta Animangaki 2017 mencipta aura tersendiri apabila hangat diperkatakan di laman sosial. Ternyata, sambutannya cukup meriah apabila pusat konvesyen Sunway Pyramid dibanjiri ‘Otaku’ dan anak muda yang datang menggayakan kostum animasi Jepun (cosplay) dan melihat sendiri karya tempatan seperti lukisan serta komik.

Selama dua hari penganjurannya pada Sabtu dan Ahad lalu, acara tempatan bertemakan ACG (animasi Jepun, komik dan ‘games’) ini mengumpulkan lebih 16,000 peminat termasuk negara di Asia Tenggara.

Penulis sendiri kagum dengan kreativiti anak muda tempatan memperagakan kostum mereka dengan idea tersendiri.

Di sebalik kemeriahan itu, penulis tertarik dengan pertandingan AniManGaki Allstars Arena yang dianjurkan oleh Infinite Carnage apabila pemain boleh menyertai tiga pertandingan permainan ‘fighting’ untuk memenangi hadiah wang tunai dan perkakasan elektronik komputer.

Pengasas Infinite Carnage Leon Soo berkata, tiga permainan iaitu Tekken 7, Guilty Gear Xrd Revelator dan Ultimate Marvel vs Capcom 3 dipertandingkan untuk peminat.

“Ternyata, permainan ini mempunyai ramai pengikut yang masih setia dengan siri ini selepas bertahun-tahun. Kalau ada pertandingan, mereka tak lepaskan peluang untuk mengambil bahagian.

“Bagi permainan Tekken 7, pemenang mendapat tajaan dari Bandai Namco untuk menyertai Southheast Asia Major (SEAM) di GameStart Asia Singapura,” katanya.

Leon berkata, Infinite Carnage turut membantu komuniti ‘fighting games’ terutama Malaysian Tekken Society (MTS) mencari bakat baru dalam industri e-sukan Tekken di Malaysia.

“Sejak ditubuhkan tidak lama dulu, kami sering bekerjasama dengan komuniti ini untuk melahirkan lebih ramai pemain yang mampu berdiri setanding pesaing dari luar negara,” katanya.

Zuramin Tawi, 24, muncul juara dalam pertandingan Tekken 7 itu dan membawa pulang wang tunai RM200 berserta perkakasan elektronik komputer dan ditaja ke GameStart Asia 2017 di Singapura.

Selain pertandingan AniManGaki Allstars Arena, pelukis komik digital, Abam Apam turut hadir sebagai tetamu jemputan di gerai JomGaming.

Pengunjung juga berpeluang membeli barangan seperti anak patung, bantal, cawan malah karya tempatan seperti lukisan potret dan poster di gerai Doujin yang mengambil bahagian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 7:46 AM