PESERTA kelihatan teruja memulakan larian untuk melalui zon warna.
SUASANA di acara Festival Finish selepas larian tamat.
Fatin Farhana Japre
gen.y@hmetro.com.my


Seramai 13,000 peserta membanjiri Padang Merbok, Kuala Lumpur dengan warna tropika ‘Tropicolor’ pada acara larian The Color Run anjuran Kumpulan CIMB (CIMB).

Bertemakan Happiest 5k on the Planet, acara larian sejauh lima kilometer (km) ini menggalakkan orang ramai menjalani gaya hidup sihat, menikmati kebahagiaan dan kegembiraan di bawah satu komuniti besar.

Rata-rata peserta yang hadir adalah belia berbilang kaum dan keterujaan jelas terpancar di wajah mereka yang berkumpul seawal jam 6 pagi.

Acara diserikan dengan zumba satu jam sebelum pelepasan, puluhan trak makanan di Color Village dan peserta yang singgah di khemah penaja The Color Run iaitu CIMB, Shopee, Face Shop serta GoPro berpeluang mendapat pelbagai jenis hadiah.

Tepat jam 7.30 pagi, peserta pelepasan pertama dilepaskan oleh Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB dengan lemparan serbuk warna merah dan kuning berterbangan di udara manakala pelepasan terakhir berlangsung tepat jam 8 pagi.

Kelainan The Color Run tahun ini, setiap satu km peserta disambut dengan alunan muzik rancak dan zon warna tropika seperti merah, jingga, hijau dan biru.

Temasya warna ini seakan-akan perayaan Holi di India dan Nepal apabila peserta kelihatan gembira melalui setiap zon berbeza semata-mata untuk bermandi serbuk berwarna-warni.

Sepanjang larian itu, peserta menyusuri Persiaran Tun Ismail dan tidak melepaskan peluang merakam gambar kenangan berlatar belakang Tugu Negara dan landskap di jalanan.

Turut disediakan satu stesen air untuk peserta menghilangkan dahaga.

Peserta turut dikejutkan dengan kehadiran penyanyi Elizabeth Tan selaku duta CIMB pada acara itu.

Kira-kira jam 9 pagi, peserta yang tiba di garisan penamat diberi pingat tanda kejayaan dan dibekalkan serbuk warna serta air minuman untuk acara Festival Finish di hadapan pentas utama.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, CIMB berbangga menjadi penaja utama untuk temasya warna ini bukan saja di Kuala Lumpur, malah Jakarta dan Singapura tahun ini.

“Saya percaya peserta mendapat pengalaman yang hebat dan menerusi acara ini bukti kami menunjukkan sokongan berterusan untuk mengekalkan gaya hidup sihat.

“Malah larian ini bukan saja mencerminkan Malaysia, malah kepelbagaian peserta dari seluruh Asia Tenggara sebagai kualiti tepat untuk CIMB merangkul dan mempromosikan produk dalam wawasan menjadi bank universal utama di rantau ini,” katanya.

Peserta, Kughan a/l Krishnansamy, 16, berkata, dia sangat teruja apabila mengetahui larian ini akan dianjurkan di Kuala Lumpur menerusi Facebook (FB).

“Ini pengalaman kali pertama buat saya, jadi saya sertainya bersama rakan untuk merasai keseronokan bermandi serbuk warna yang hangat diperkatakan di luar negara.

“Ternyata, The Color Run melangkaui jangkaan saya kerana acara ini sangat menyeronokkan dari tapak karnival hingga ke garisan penamat.

“Saya mahu menyertainya lagi dan berharap pihak penganjur boleh perbanyakkan warna serta stesen air pada tahun hadapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 10:58 AM