NUR Khalilah menggunakan kad sebagai alat bantuan mengajar ketika di dalam kelas
NUR Khalilah (kiri) dan Fadilah giat mengendalikan kelas bahasa Jepun.
BERINTERAKSI dengan pelajar ketika dalam kelas.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Bekas jurutera, Nur Khalilah Ramli, 28, pernah menerima gaji hampir lima angka ketika bekerja dengan syarikat interior kereta di Jepun namun sanggup meninggalkan kerjaya lamanya untuk pulang ke tanah air.

Namun, keputusan dibuatnya itu nyata tidak sia-sia apabila membuka kelas bahasa Jepun sejak September tahun lalu.

Pada mulanya, lulusan Nagaoka University of Technology itu sekadar menjadi penterjemah dan pengajar sambilan namun pertemuan dengan seorang rakan menjadi titik permulaan untuk serius memanfaatkan kemahiran yang ada dengan niat membantu orang tempatan menguasai bahasa berkenaan.

“Selepas berhenti kerja di Jepun, saya pulang ke tanah air, namun tidak bekerja sebagai jurutera sebaliknya menjadi penterjemah dan guru tuisyen sambilan.

“Di situlah saya bertemu rakan, Fadhilah Mohamad, 26, yang mempunyai minat sama dan selepas berbincang, kami bersepakat menyewa premis bagi membuka kelas bahasa Jepun bermodalkan wang simpanan peribadi.

“Nampak mudah tetapi tidak kerana kami tiada asas jadi saya terpaksa mengambil inisiatif pergi ke kelas pengurusan dan pemasaran untuk mempelajari aspek berkenaan selain menyediakan modul bersesuaian untuk pelajar,” katanya.

Menurut Nur Khalilah, pada mulanya, hanya enam pelajar yang mendaftar untuk mengikuti kelas di bawah kendaliannya.

Kini, bilangan pelajar bertambah menjadi 54 orang dengan majoritinya adalah mereka yang sudah bekerja.

“Banyak sebab mereka mendaftar masuk ke kelas saya, ada yang disebabkan tuntutan kerja dan tidak kurang juga kerana mahu melancong ke Jepun.

“Sebagai pengajar, saya cuba sedaya upaya untuk membantu mereka faham dan akhirnya boleh bertutur dalam bahasa Jepun dengan kaedah menyeronokkan.

“Untuk lebih dekat dengan mereka, saya mewujudkan kumpulan dalam aplikasi WhatsApp bagi memudahkan pelajar bertanya apa yang mereka tidak faham di luar waktu kelas, “ katanya yang dibantu enam pengajar untuk mengendalikan kelas berkenaan.

Nur Khalilah berkata, meskipun baru setahun membuka kelas berkenaan, banyak maklum balas positif diterima dan ia memberi semangat untuknya membaiki mutu pengajaran.

Sambutan memberangsangkan juga mendorongnya untuk mempertimbangkan rancangan bagi membuka kelas khusus untuk kanak-kanak dengan yuran munasabah.

“Meskipun sudah berhenti kerja di Jepun, saya pernah ditawarkan bekerja di sana semula oleh sebuah syarikat namun menolak kerana mahu fokus sebagai pengajar dan menguruskan kelas ini.

“Walaupun gaji ditawarkan lumayan, kerjaya sebagai pengajar lebih memberi kepuasan. Lebih-lebih lagi apabila melihat pelajar boleh bertutur dengan baik dan mendapat pekerjaan selepas mengikuti kelas di bawah kendalian saya.

“Itu petanda yang baik dan memberi keyakinan untuk saya membuka kelas khas untuk kanak-kanak pada masa akan datang bagi meneruskan usaha membantu masyarakat kita menguasai bahasa asing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 1:34 PM