IZUAN gigih menghabiskan masa di trek stadium bagi menjalani latihan.
TUGAS sebagai anggota Tentera Darat Malaysia bukan halangan untuk Izuan aktif dalam sukan larian jarak jauh dan acara trek.
IZUAN bercita-cita mewakili negara dalam temasya Sukan SEA.
BERSAMA isteri dan anak.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Anggota Tentera Darat Malaysia, Lans Koperal Izuan Ismail, 25, pernah terfikir meninggalkan larian jarak jauh (road race) dan acara trek berikutan kecederaan hamstring yang dialami seminggu sebelum kejohanan pada tahun lalu.

Namun, kejayaan meraih tempat pertama ketika itu mendorongnya untuk terus bersemangat dan tidak berputus asa walaupun berdepan dengan risiko.

Bagi Izuan, kedua-dua sukan itu cukup sebati dengan dirinya dan ia antara sebab dia sanggup menghabiskan kebanyakan waktu di trek stadium bagi menjalani latihan.

“Rutin harian saya bermula seawal jam 7 pagi sebelum berhenti rehat pada tengah hari dan bersambung semula dari jam 4 hingga 6 petang.

“Itu pada sebelah siang manakala malam pula diteruskan dengan latihan berseorangan di pusat gimnasium ataupun trek stadium.

“Begitulah rutin saya setiap hari dan sebab itu waktu bersama keluarga agak terhad kerana waktu hujung minggu turut diisi dengan latihan,” katanya yang aktif dalam larian dengan jarak 800 meter hingga 21 kilometer (KM).

Menurut Izuan, buat masa ini, dia dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan kerana ditempatkan di Pusat Cemerlang Olahraga Tentera Darat Malaysia Kem Sungai Besi, Selangor.

Di pusat berkenaan, Izuan menjalani latihan dengan bimbingan jurulatih sebagai persediaan untuk menyertai Kejohanan Olahraga Tentera Darat pada pertengahan bulan ini dan beberapa kejohanan yang lain.

“Saya mula aktif sejak 2007 dan meraih beberapa pencapaian sepanjang tempoh itu antaranya tempat pertama dalam acara larian 800 meter dan kedua untuk jarak 4x400 meter untuk Kejohanan Olahraga Tentera Darat.

“Kali ini saya akan menyertai kejohanan sama dan berharap dapat memperbaiki catatan masa peribadi, sekali gus mengulangi kejayaan pada tahun lalu.

“Sebab itu saya perlu fokus dan menjalani latihan secara konsisten bagi memastikan stamina berada dalam keadaan yang baik,” katanya yang aktif memuat naik gambar dan video latihan kecergasan di Instagram.

Izuan berkata, dia serius untuk pergi lebih jauh dalam sukan berkenaan dan berharap dapat mewakili negara dalam temasya sukan di peringkat antarabangsa satu hari nanti.

Katanya, untuk ke arah itu, dia perlu berusaha lebih keras lagi meningkatkan prestasi diri supaya setanding atlet sedia ada.

“Sejak sekolah rendah lagi saya terbabit dalam sukan olahraga dan gembira kerana masih berpeluang aktif walaupun sudah berkhidmat dengan ATM.

“Malah saya bangga kerana diberi peluang untuk mewakili tentera darat dalam kejohanan olahraga yang diadakan.

“Diharap penyertaan saya ini menjadi bukti bahawa anggota tentera boleh menyumbang sesuatu dalam bidang sukan dan bukan sekadar melawan musuh di medan perang ,” katanya yang bercita-cita mewakili negara dalam temasya Sukan SEA.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2017 @ 6:29 AM