ZAINOL (dua dari kanan) bergambar kenangan bersama sebahagian ahli komuniti Young Mini Malaysia ketika perjumpaan santai.
SAMBUTAN positif pemilik jentera klasik yang terdiri daripada generasi muda mendorong Young Mini Malaysia menjadikan program 'Meet & Chill' sebagai acara tahunan.
Nor Hanisah Kamaruzaman
gen.y@hmetro.com.my


Jika dulu, jentera klasik cukup sinonim dengan golongan veteran. Kini, senario sudah berbeza dan semakin ramai anak muda mula menunjukkan minat serta memiliki pelbagai jenis kenderaan retro.

Komuniti diberi nama ‘Young Mini Malaysia’ (YMM) antara yang menghimpunkan pemilik jentera retro dalam kalangan generasi muda.

Ditubuhkan pada Mac 2016, komuniti ini dianggotai sekitar 100 anak muda yang juga pemilik kenderaan retro Mini Cooper.

Menurut salah seorang ahlinya, Zainol Hakiim Bee Sham, 25, antara acara terbesar dianjurkan YMM adalah ‘Meet & Chill’ yang diadakan pada Mei lalu.

“Acara terbesar yang pernah kami jalankan adalah ‘Meet & Chill’ yang diadakan di Semenyih, Mei lalu.

“Objektif utama kami untuk menghimpunkan golongan muda dengan minat yang sama dalam satu aktiviti santai sambil berkongsi idea serta pengetahuan masing-masing.

“Acara berkenaan anjuran bersama komuniti pemilik jentera klasik Volkswagen dan Vespa yang juga terdiri daripada anak muda,” katanya.

Katanya lagi, YMM juga merancang untuk mengetengahkan acara santai ‘Meet & Chill’ dalam kalendar tahunan mereka.

“Sambutan yang diterima daripada acara itu sangat positif dan menggalakkan. Jadi kami bercadang untuk ketengahkannya sebagai acara tahunan,” katanya.

Zainol berkata, YMM turut aktif menyertai pelbagai aktiviti dan program yang membabitkan jentera retro di seluruh negara.

“Selain perjumpaan mingguan, kami juga sering menyertai pelbagai acara membabitkan kenderaan klasik di seluruh negara.

“Kami turut berkonvoi ke beberapa lokasi berdekatan bukan saja untuk melepaskan gian bersiar-siar dengan jentera kesayangan, juga untuk merakam gambar dan video.

“Setiap ahli dalam komuniti ini mempunyai latar belakang dan kepakaran berbeza. Jadi, kami sentiasa menyokong satu sama lain. Kami selalu berkonvoi untuk membantu salah seorang ahli yang juga jurugambar merakam gambar serta video,” katanya.

Ingin menghimpunkan lebih ramai pemilik jentera klasik dalam kalangan golongan muda, YMM ditubuhkan empat rakan yang mempunyai minat yang sama.

YMM ditubuhkan hasil inisiatif empat rakan iaitu Muhammad Meezam Azmi, 24, Ahmad Aiman Nazri, 26, Anas Syafe’i Khaidir, 26, dan Shah Idzuan A Majid, 30.

“Ketika itu masing-masing sudah memiliki kenderaan Mini Cooper retro, jadi mereka terfikir untuk tubuhkan komuniti yang dapat menghimpunkan pemilik dari seluruh negara.

“Selain dapat menjalin persahabatan dengan rakan baru dan membina rangkaian, YMM juga menjadi platform untuk anak muda saling berkongsi hobi, ilmu dan kepakaran.

“Visi awal untuk mempunyai sekurang-kurangnya seorang ahli di setiap negeri dan ia sudah tercapai,” katanya.

Ikuti akaun Instagram @youngminimalaysia dan @malaysianminis untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 4:14 AM