DRESS baldu menyerlahkan gaya si pemakai.
PADANAN bomber jaket dan baju-T sesuai untuk gadis mahupun jejaka.
SKIRT baldu pengganti denim.
LEGGING alternatif untuk penggemar material baldu.
KASUT baldu menonjolkan ciri sofistikated.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Fesyen ibarat roda, jadi tidak hairanlah ada antara pakaian generasi era 1970-an hingga 1990-an kembali mendapat perhatian dan menjadi trend sejak beberapa tahun kebelakangan ini contohnya ‘overall’ dan ‘crop top’.

Kini, baju dengan material baldu (velvet) pula mendapat tempat dan semakin banyak dijual di pasaran berikutan trend semasa.

Apabila sebut saja mengenai trend, ia tentunya menjadi seperti koleksi wajib anda dalam almari pakaian.

Namun, jangan hanya tahu mengikut trend kerana penting juga untuk memilih padanan sesuai jika mahu menggayakan pakaian baldu kerana materialnya agak panas, lebih-lebih lagi di negara kita yang beriklim khatulistiwa.

Selain itu, si pemakai juga akan kelihatan serba tidak kena jika silap menggayakannya. Berikut tip untuk menyuai padan pakaian baldu:

Bomber jaket

Sekiranya bomber jaket anda diperbuat daripada material baldu, padankan bersama baju-T atau dress labuh dengan motif sederhana di bahagian dalam.

Untuk keselesaan, baju-T atau dress itu hendaklah diperbuat daripada kain kapas supaya tidak panas.

Itu sudah memadai untuk anda kelihatan bergaya kerana material baldu mampu menyerlahkan personaliti si pemakai, bukan hanya si gadis juga si jejaka.

Legging

Tidak semestinya baju, ada juga legging diperbuat daripada kain baldu, jadi padankan ia bersama pakaian lengan panjang dan aksesori seperti rantai leher serta topi.

Jika tidak gemarkan pakaian lengan panjang, baju-T sudah memadai dan sarungkan kasut tumit tinggi sekiranya mahu tampil lebih feminin.

Terpulang kepada cita rasa anda. Apa yang penting anda selesa!

Skirt

Anda mungkin sudah bosan skirt denim, jadi gantikan dengan material baldu yang lebih trendy pada masa kini.

Gadis berhijab juga boleh mencubanya, cuma pilih skirt jenis labuh dan padankan bersama sniker atau kasut lebih kasual.

Pakaian pula mengikut kegemaran anda sama ada baju-T untuk kelihatan lebih ringkas, tanpa lengan atau blaus.

Dress

Cuba lari daripada kebiasaan dengan memakai dress daripada material baldu untuk kelihatan lebih menyerlah.

Tidak perlu memakai aksesori yang sarat tetapi cukup dengan rantai leher atau gelang tangan sebagai pelengkap gaya.

Pakai legging warna gelap contohnya hitam untuk mewujudkan kontra dengan dress yang dipakai.

Kasut

Bukan hanya pakaian tetapi ada juga kasut yang diperbuat daripada material baldu.

Kasut itu sesuai untuk ke majlis formal berbanding santai dan pilihan tepat untuk menggantikan loafer atau sepatu jenis kulit.

Tidak keterlaluan jika penulis katakan bahawa kasut jenis itu nampak lebih mewah dan menonjolkan ciri sofistikated.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2017 @ 12:57 AM