MOHD Faiz.
MOHD Faiz mahu membawa suara OKU belia dari peringkat akar umbi .
STATUS diri dorong Mohd Faiz bantu golongan senasib.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Zahirnya, Mohd Faiz Shuhaimi, 28, nampak sama seperti remaja lain namun dia sebenarnya mempunyai masalah pendengaran malah pernah diberi gelaran ‘Pak Sound’ oleh rakan ketika di sekolah.

Disebabkan kekurangan itu, Mohd Faiz malu ke sekolah namun kembali bersemangat dengan sokongan keluarga terutama ibu bapanya.

Kini, semua itu tinggal kenangan dan Mohd Faiz sudah pun melangkah ke menara gading malah menjadi antara sebilangan aktivis yang gigih membela nasib orang kurang upaya (OKU).

Baginya, tidak guna untuk terus bersedih dan sebab itu dia bangkit membuktikan kebolehan menerusi pembabitan aktif dalam persatuan, badan beruniform, pertandingan debat dan pelbagai program kepemimpinan dari peringkat sekolah sehingga di institut pengajian tinggi (IPT).

“Saya disahkan menghadapi masalah pendengaran ketika berumur 10 tahun dan ketika itu, doktor memaklumkan ia berpunca daripada gangguan saraf.

“Dalam tempoh enam bulan pertama, saya hilang keyakinan diri lebih-lebih lagi apabila kerap diejek rakan ketika di sekolah malah rasa seperti ‘alien’ apabila perlu bergantung dengan alat bantuan pendengaran.

“Namun, kekecewaan itu hilang dengan adanya keluarga yang tidak pernah putus memberi sokongan ,” katanya yang juga anak sulung daripada lima beradik.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata, selain bergelar aktivis, dia turut memegang jawatan penting dalam kampus antaranya Timbalan Presiden Kuliah Pendidikan , Sekretariat Rukun Negara dan Kolej Kediaman Uthman (Mahallah Uthman).

Di luar kampus pula, Mohd Faiz aktif sebagai ahli kelab Persatuan Orang Pekak Kuala Lumpur dan Sukarelawan Sokongan OKU Majlis Belia Malaysia sejak tahun lalu.

“Pembabitan saya dalam persatuan di dalam dan luar kampus bukan hanya kerana minat tetapi sebagai tanda sokongan kepada mereka yang senasib serta keinginan membawa suara OKU khasnya belia dari peringkat akar umbi.

“Maklum balas itu penting dan dapat saya gunakan untuk membantu mereka dari semasa ke semasa menerusi penganjuran program bersesuaian.

“Agak mencabar sebenarnya untuk mengumpulkan suara mereka namun saya cuba pelbagaikan cara pendekatan salah satunya dengan memanfaatkan medium paling efektif masa kini iaitu media sosial,” kata anak kelahiran Machang, Kelantan ini.

Mohd Faiz berkata, banyak perancangannya pada masa akan datang , salah satunya menyambung pengajian di peringkat sarjana.

Jika diberi kesempatan pula, dia mahu memegang jawatan sebagai pegawai tadbir diplomatik dalam sektor kerajaan dengan pengkhususan dalam Pendidikan Khas.

“Itu antara impian saya dan harapnya ia menjadi kenyataan kerana mahu memberi inspirasi dan membuktikan kepada OKU di luar sana mereka juga mempunyai peluang setara dengan insan normal jika bijak menonjolkan kebolehan.

“Malah, siapa tahu mereka lebih baik dan sebab itu penting untuk OKU diberi peluang supaya mereka boleh ke depan,” katanya yang bakal mewakili delegasi negara dalam Persidangan Model Belia ASEAN Yayasan S Rajaratnam 2017 (SRE-YMAC 2017) di Singapura pada Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 3:49 AM