Hazril Md Nor
gen.y@hmetro.com.my


Resident Evil, satu nama yang gah dalam industri permainan video. Tanyalah sesiapa saja, pastinya mereka mengenali permainan yang penuh dengan elemen seram dan mutasi virus itu.

Selepas kejayaan Resident Evil 7 awal tahun ini, nampaknya Capcom ingin terus menyajikan peminat dengan kandungan baru (DLC) yang percuma dan berbayar pada 12 Disember.

Diberi nama Resident Evil: Gold Edition, ia mengandungi dua kandungan asal dalam edisi ‘deluxe’ iaitu ‘banned footage’ jilid pertama dan kedua berserta kandungan baru, Not A Hero dan End of Zoe.

Not A Hero adalah percuma namun diumumkan lewat tiba di pasaran. Plotnya lebih menarik dan menampilkan teraju utama francais itu iaitu Chris Redfield kini sebagai ejen baru koperasi Umbrella yang perlu menyelesaikan satu lagi misi menentang bioterorisme.

End of Zoe pula agak menarik kerana persoalan pemain akan terjawab selepas menyaksikan apa sebenarnya terjadi kepada karakter pembantu itu. Anda akan meneroka kawasan paya lebih luas di Louisiana.

Bagi yang belum tahu, jilid pertama ‘banned footage’ membawakan tiga mod baru. Nightmare lebih memfokuskan elemen ‘survival’ yang dihadapi jurukamera Clancy Jarvis.

Bedroom lebih kepada teka-teki untuk melarikan diri dari Marguerite manakala Ethan Must Die lebih sukar ditempuh kerana anda perlu mencari senjata untuk mempertahankan diri.

Jilid kedua pula membawakan episod lebih seram iaitu 21 yang berkisar nasib pemain diseksa ala filem SAW.

Daughters pula memfokuskan keluarga Baker dan nasib Zoe yang menyaksikan ahli keluarganya bertukar menjadi makhluk seram.

Terakhir dalam jilid itu ialah Jack’s 55th Birthday. Anda perlu mencari makanan yang cukup kepada Jack dan pada masa sama perlu berdepan raksasa di rumah usang itu.

Resident Evil 7 dikeluarkan di pelantar Playstation 4, PC dan Xbox One. Edisi Gold dijangka dijual pada harga RM210.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 6:32 AM