KEPALA itik berkuah
Shuhada Mansor


Ada sebahagian makanan kita dianggap unik dan eksotik bagi sebahagian orang khususnya orang Eropah.

Namun, ada juga makanan yang kita tidak jumpa di Malaysia menjadi hidangan biasa bagi negara lain.

Contohnya cengkerik di Kemboja, telur hampir menetas di Vietnam dan ular di China. Kali ini saya kongsikan antara makanan unik di Indonesia.

Kepala itik berkuah

Agak mustahil untuk kita jumpa di Malaysia, tapi di Indonesia, ia hidangan biasa. Difahamkan, kebiasaannya ia disediakan dengan dimasak kuah kuning seperti masak lemak namun tekstur kuah lebih cair. Kepala itik dimasak sekali dengan bahagian badannya yang lain. Tetapi, selepas masak ia akan diasingkan di dalam bekas berbeza. Harga kepala itik bergantung kepada restoran dan lokasi. Satu kepala sekitar RM2 hingga RM3.

Kepala ayam goreng

Walaupun ada menganggap kaki ayam dimasak sup dan dijual di Malaysia sebagai aneh, tapi ada yang lebih unik. Di Indonesia khususnya Pulau Jawa, jangan terkejut jika anda masuk ke restoran menghidangkan lauk nasi campur dan dihidangkan kepala ayam goreng. Ia tidak dipotong dan bentuknya masih lengkap. Selalunya, ia digoreng ‘deep fried’ dan dimakan bersama nasi putih. Harga antara 90 sen hingga RM1.

KEPALA ayam goreng

Kerepek belut

Sekali lihat mungkin kita tidak menyangka ia adalah haiwan. Ternyata jalur hitam kecil itu belut. Anak belut yang bersaiz kecil disalut tepung dan digoreng untuk dijadikan seperti kerepek. Ia kemudian dipek di dalam bekas plastik dan dijadikan jajan.

Mudah didapati di kedai makan kerana ada sesetengah suka makan bersama nasi. Harga antara RM3 hingga RM4.

KEREPEK belut

Kelawar goreng

Kelihatan agak ‘ngeri’ tapi ini antara makanan unik di Indonesia. Walaupun ia tidak terlalu banyak dijual seperti ayam goreng di warung tepi jalan, penggemar kelawar tetap ada.

Cara masakannya sama seperti ayam goreng tapi tidak dipotong malah digoreng keseluruhan tubuh termasuk kepala.

Dipanggil ‘jodot’ di Jawa, ia boleh dikatakan makanan bermusim oleh itu harganya tidak tetap sekitar RM3 hingga RM5 seekor.

KELAWAR goreng

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 2:15 PM