Hazril Md Nor


Kolaborasi bersama pembangun ‘game’ bukan saja memberi kebaikan kepada industri tempatan tapi juga menyediakan laluan kepada anak muda kita bersaing di peringkat lebih tinggi.

Itu antara usaha PES Malaysia bersama Konami yang akan menganjurkan pusingan kelayakan di Semenanjung Malaysia umumnya empat lokasi iaitu pantai timur, selatan, utara dan Selangor bagi mencari bakat baru untuk bertanding di kejohanan utama dua lawan dua iaitu Asia Finals.

Pengarah Komuniti PES League Malaysia Ahmad Yazid Abdul Rahman berkata, lapan pasangan peserta dicari untuk kejohanan ini.

“Kami berbesar hati untuk mengumumkan kolaborasi julung kalinya bersama Konami. Bagi kami, ia adalah salah satu pencapaian terbaik dan penting bagi kelangsungan industri ini.

“Lapan pasangan dari setiap lokasi akan berentap dalam final yang akan diadakan di ‘gaming’ studio pada 16 Disember ini untuk mencari dua yang terbaik,” katanya.

Yazid berkata, pusingan kelayakan ini turut membuka peluang kepada dua pasangan terbaik bertanding di kejohanan utama di Thailand kelak.


YAZID (duduk kiri) bersama ahli komuniti.

“Mereka akan mendapat tajaan penuh daripada Konami dan PES Malaysia termasuk tiket penerbangan dan penginapan ke Asia Finals di Bangkok, Thailand pada 21 Januari depan.

“Kejohanan utama itu turut disertai peserta dari lapan negara iaitu Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, Singapura, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Malaysia,” katanya.

Menurutnya, usaha sama ini dapat diwujudkan berikutan komuniti PES di Malaysia yang sentiasa aktif dalam pertandingan dan sebagainya.

“Sebelum ini Konami sering menyasarkan pasaran Eropah tapi kini senarionya berlainan. Mereka nampak Malaysia berpotensi kerana komuniti di sini sangat aktif.

“Malah, kami pernah mencatatkan sebanyak 80,000 tontonan di YouTube untuk kejohanan tempatan dianjurkan,” katanya.

Selain perlu bekerjasama, kata Yazid, peserta perlu bersiap sedia untuk membiasakan diri dengan format ini.

“PES 2018 memperkenalkan mod beregu (dua lawan dua). Sudah semestinya peserta perlu berganding bahu agar lebih serasi dan selesa bermain permainan ini,” katanya.

Kata Yazid, Konami belum mendedahkan berapa hadiah wang tunai yang akan menjadi taruhan dan bakal membuat kejutan kepada semua peserta kelak.


KOMUNITI PES Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 5:28 AM