PEREKA muda dari London ini memberi definisi baru pada botol plastik terpakai dengan menjadikannya sebagai bahan cantuman alternatif untuk kayu.
Nor Hanisah Kamaruzaman
gen.y@hmetro.com.my


Kreatif dan inovatif. Itu yang dapat menggambarkan idea unik anak muda dari London ini yang menggunakan semula botol plastik terpakai dengan cara tersendiri.

Botol plastik cukup sinonim dengan projek DIY (Do-It-Yourself) dan sering digunakan semula untuk mencipta pelbagai produk antaranya bekas alat tulis, pasu mini untuk tanaman dan hiasan dinding.

Bagi Micaella Pedros, dia berjaya meneroka fungsi dan kegunaan baru botol plastik dari sudut reka bentuk.

Pereka muda lulusan Royal College of Art, Kensington, London itu menggunakan botol plastik sebagai bahan cantuman alternatif untuk kayu.

Idea bernas gadis muda itu dipersembahkan dalam projek Joining Bottles yang memperlihatkan botol plastik mampu mencantumkan dua batang kayu apabila ia dipanaskan.

Sebagai pereka sosial dan kemanusiaan, Micaella melihat eksperimennya itu sebagai alternatif bermanfaat selain menawarkan kaedah mudah membina struktur berfungsi seperti kerusi kayu terpakai.


MICAELLA

Kedua-dua bahan utama yang diketengahkan dalam projek itu adalah botol plastik dan kayu terpakai yang ternyata mudah dan boleh didapati di mana saja.

Asas projek Micaella berpandukan fakta bahawa isi kandungan botol plastik iaitu Polyethylene Terephtalate (PET) mempunyai sifat termoplastik yang akan cair apabila terkena haba.

Menggunakan pistol haba, Micaella mengecutkan botol plastik untuk mencantumkan dua batang kayu.

Teknik baru menggunakan semula botol plastik sebagai bahan cantuman kayu itu juga berjaya mencipta kerja kayu yang menarik terhasil hanya daripada sumber kitar semula yang boleh didapati di sekeliling kita.

Bagi Micaella, bekerja dan bereksperimen dengan botol plastik bukan saja mesra alam juga tidak mengeluarkan sebarang kos sekiranya ia dikumpul dari tempat pembuangan sampah.

Bagi berkongsi kaedah mudah dan kreatif itu, Micaella turut berkolaborasi dengan R Urban Wick iaitu komuniti terbuka yang meneroka dan berkongsi budaya DIY bandar.


PROJEK Joining Bottles buka mata masyarakat untuk

Menurut Micaella, projek Joining Bottles juga turut bertujuan membuka minda individu dan komuniti di seluruh dunia untuk memanfaatkan sumber yang ada di sekeliling mereka.

Katanya lagi, di sesetengah negara, projek berkenaan mampu memberi perubahan besar dalam mempromosikan pengumpulan botol plastik dan kayu terpakai bagi memperkasakan individu dan masyarakat setempat.

Dalam projek berkenaan, Micaella turut menggunakan pelbagai jenis dan bentuk kayu berbeza serta beberapa jenis botol plastik berlainan.

Diinspirasikan daripada nilai reka bentuk demokratik dan budaya DIY, Micaella mengembangkan pengetahuan dan falsafahnya yang diperoleh daripada pengalaman kerja sukarela di Uganda pada 2014 dan kunjungannya ke Guatemala pada 2015.

Melalui reka bentuk, gadis muda ini menyumbang kepada masyarakat dengan memanfaatkan sumber tempatan dan tenaga semula jadi.


ANTARA produk yang dihasilkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 1:18 PM