LIMA kelebihan pindah kediaman tapi tidak disedari.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Berpindah rumah boleh menjadi perkara paling tidak disukai kebanyakan individu kerana menganggap ia leceh dan merumitkan.

Bukan setakat perlu mengemas dan mengangkut barangan, tetapi menyesuaikan diri dengan suasana serta persekitaran di rumah yang baru namun ada kalanya terpaksa dilakukan disebabkan pertukaran tempat kerja atau faktor lain.

Mahu atau tidak, itu cabaran perlu dilalui golongan bujang yang tinggal menyewa namun di sebalik kesukaran, ada juga kelebihan apabila berpindah ke tempat baru.

Antaranya adalah seperti berikut:

1. PELUANG JUAL BARANGAN LAMA

Pasti ada barangan atau pakaian lama yang masih cantik ditemui ketika mengemas. Jadi daripada dibuang lebih baik anda menjualnya di laman sosial atau portal jual beli dalam talian.

Sekurang-kurangnya, duit hasil jualan itu dapat digunakan untuk membayar caj perkhidmatan lori sewa atau membeli barangan lain.

Kelebihan lain adalah anda dapat mengurangkan jumlah barangan yang dibawa ke kediaman baru.

2. PENGALAMAN DI TEMPAT BARU

Benar, bukan singkat masa yang diperlukan untuk menyesuaikan diri dengan tempat dan suasana baru.

Namun, inilah masanya untuk berubah angin selepas sekian lama selesa di satu-satu tempat.

Siapa tahu, suasana di tempat baru lebih menyeronokkan lebih-lebih lagi jika mendapat jiran tetangga yang prihatin dan ringan tulang.

3. RAKAN SERUMAH BARU

Ada kemungkinan untuk anda mendapat rakan serumah baru apabila berpindah ke kediaman lain.

Boleh jadi rakan serumah anda itu mempunyai minat sama atau dalam erti kata lain sekepala.

Mana tahu, anda berdua boleh jadi teman rapat dan merancang pelbagai aktiviti bersama pada hujung minggu!

4. SEWA LEBIH MURAH

Sewa rumah baru mungkin lebih murah berbanding sekarang, jadi lebihan duit itu boleh disimpan atau digunakan untuk perkara yang perlu.

Jika anda bijak, boleh mengiklankan bilik kosong di rumah baru itu untuk disewakan kepada mereka yang berminat. Dengan cara itu, lebih banyak wang dapat dijimatkan!

5. KONGSI PENGALAMAN DI MEDIA SOSIAL

Satu lagi kelebihan berpindah adalah anda dapat berkongsi pengalaman itu dengan rakan menerusi media sosial atau diceritakan di blog peribadi.

Perkongsian itu boleh merangkumi tip atau pengalaman mengenai lokasi tempat yang diduduki.

Secara tidak langsung, anda dapat membantu mereka yang memerlukan informasi mengenai urusan perpindahan rumah atau perkara lain yang berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 5:45 AM