ITEM fesyen wajib ada biarpun harga bukan murah.
ITEM fesyen wajib ada biarpun harga bukan murah.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Segelintir individu selesa dengan gaya sederhana dan tidak kurang juga cenderung memakai pakaian, aksesori atau barangan berjenama.

Itu pilihan peribadi kerana setiap individu mempunyai cita rasa tersendiri namun tidak bermaksud mereka yang membeli barang mahal arif perihal fesyen.

Cuma mereka mungkin berkemampuan, begitu juga dengan penggemar pakaian bundle yang boleh jadi ‘poket tebal’ tetapi meminati pakaian berunsur vintaj dan jarang ditemui.

Pendek cerita, tiada istilah membazir jika anda membeli sesuatu untuk kegunaan diri sendiri melainkan ia terperuk begitu saja di dalam almari.

Menyentuh soal itu, Gen Y kongsikan lima item fesyen wajib ada dan berbaloi dibeli walaupun pada harga mahal. Namun ingat, elakkan tabiat biar papa asal bergaya!

1. KACA MATA

Ini antara item dan aksesori fesyen yang menjadi kegilaan remaja, jadi tidak hairanlah ada sanggup berbelanja sehingga ratusan ringgit untuk membeli yang berjenama.

Meskipun ada saja yang dijual serendah RM10 di pasaran, peminat kaca mata tetap rela memperuntukkan sejumlah wang demi membeli yang berjenama.

Selain mementingkan kualiti, kaca mata berjenama mungkin menjadi pilihan mereka kerana memberikan perlindungan terhadap sinar ultra lembayung (UV) selain yakin ia tahan lebih lama walaupun sedar kemungkinan rosak itu tetap ada.

2. BEG

Tidak semua individu gemar mengumpul dan bertukar beg. Jadi itu salah satu sebab segelintir orang cenderung membeli yang mahal dan berjenama.

Bagi mereka, kualiti beg berjenama lebih terjamin lebih-lebih lagi jika diperbuat daripada kulit tertentu.

Ada benarnya pendapat itu dan jika mampu, apa salahnya kerana ia lebih baik berbanding anda kerap membeli baru dengan nilai keseluruhannya bersamaan dengan harga bagi seunit beg berjenama!

3. JAKET

Tidak kira jaket kulit, denim atau bomber, semuanya dijual pada harga lingkungan RM100 ke atas jika dibeli bukan pada waktu promosi.

Harga itu agak mahal bagi yang mempunyai bajet rendah tetapi ia tidak rugi dibeli jika anda mempunyai lebihan wang.

Ia kerana kebiasaannya, jaket tahan lama dan agak praktikal kerana boleh disesuaikan dengan gaya kasual. Cuma penjagaannya sedikit rumit kerana tidak boleh dicuci sembarangan.

4. KASUT

Seperti pakaian, aksesori dan beg, kasut juga item yang tidak rugi dibeli kerana selalunya boleh dipakai dalam tempoh lama.

Jadi, apa salahnya simpan dan belanjakan duit untuk membeli sekurang-kurangnya sepasang kasut berjenama sebagai ganjaran buat diri sendiri.

Mereka mempunyai bajet rendah pula mungkin boleh membeli jenis ‘preloved’ secara dalam talian atau kedai bundle dan jika bernasib baik, anda berpeluang memiliki kasut berjenama pada harga rendah!

5. JAM TANGAN

Salah satu kemestian bagi kebanyakan remaja adalah memakai jam tangan malah memang ada golongan sanggup melabur wang simpanan bagi membeli yang berjenama.

Lagipun, jam tangan amat penting kerana fungsinya yang menjadi penunjuk masa, pelengkap gaya seseorang dan terkini, turut menabur khidmat sebagai perakam kecergasan diri.

Jadi, ia bukan saja satu kehendak tetapi keperluan maka bukan satu kerugian memilikinya walaupun harganya agak mahal kerana pasti ia didatangkan dengan kelebihan tertentu antaranya cantik, trendy, kalis air, tahan lasak dan banyak fungsi!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2017 @ 4:04 AM