AHLI TAG menjadi pengiring majlis perkahwinan.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Aktiviti cosplay sinonim dengan sekumpulan individu yang gemar memakai solekan tebal dan kostum karakter animasi tertentu.

Namun, di sebalik keberanian mereka tampil di khalayak dengan imej sebegitu, tidak ramai tahu komuniti ini turut aktif dengan aktiviti amal.

Antaranya menghiburkan kanak-kanak di wad hospital dan penghuni rumah anak yatim.

Antara kumpulan yang aktif adalah Toku Alliance Group (TAG) yang ditubuhkan pada Januari 2016 dan kini mempunyai 20 ahli terdiri daripada lelaki dan perempuan.

Menariknya, ahli TAG tidak hanya berkumpul ketika acara seperti AniManGaki, Comic Fiesta dan Collector’s Toy Fair Kuala Lumpur (CTFKL) tetapi turut merancang aktiviti lain yang lebih mendekatkan mereka dengan komuniti.

Seorang ahli, Salihin A Jalil, 28, berkata, dia antara individu terawal yang menyertai TAG kerana mahu berkenalan dengan penggiat cosplay yang lain.

Katanya, penyertaan dalam TAG tidak sia-sia kerana aktivitinya tidak terhad pada acara cosplay semata-mata tetapi turut menjalankan program bersama komuniti.

“Tujuan asal penubuhan TAG adalah untuk menghimpunkan penggiat cosplay supaya dapat berinteraksi antara satu sama lain.

“Namun, di samping berkongsi minat sama, kami turut merancang aktiviti yang dilakukan bukan untuk mengaut keuntungan tetapi lebih kepada sukarelawan dan kerja amal termasuk mengadakan kunjungan ke wad kanak-kanak di hospital.

“Walaupun kunjungan itu tidak lama, kami puas kerana dapat menceriakan pesakit dan alhamdulillah, ahli juga memberi sokongan walaupun ada antara mereka yang menetap di luar Lembah Klang,” katanya.


AHLI TAG tidak hanya aktif dalam acara cosplay.

Menurut Salihin, selain mengunjungi hospital dan rumah anak yatim, mereka turut memenuhi undangan mengiringi pengantin di majlis perkahwinan.

“Selalunya, undangan itu datang daripada rakan terdekat jadi apa salahnya kami datang untuk memeriahkan majlis?

“Lagipun, ia tarikan untuk kanak-kanak yang lebih terhibur dengan kehadiran kami ,” katanya.

Seorang lagi ahli, Choy Hyu Gin, berkata, penyertaan dalam TAG bukan saja memberinya peluang berkongsi minat dengan penggiat cosplay lain tetapi dapat mendekati komuniti menerusi aktiviti yang dijalankan.

“Penampilan pertama saya adalah pada acara CTFKL dengan memakai kostum Kamen Rider ketika itu.

“Dari situ, timbul keinginan untuk aktif dan seronoknya kerana aktiviti ini turut membantu menghilangkan tekanan selain menambah kenalan baru.

“Bagi saya, peranan TAG amat berbeza kerana bukan hanya menyatukan penggiat cosplay tetapi memberi peluang kepada ahli untuk melakukan kerja amal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 1:07 PM