KETAGIHAN membeli-belah menyebabkan individu berkenaan rasa bersalah selepas membuat pembelian.
LELAKI berumur 30 tahun ke bawah antara golongan yang mempunyai obses terhadap permainan video.
KETAGIHAN memakan makanan pelik dialami segelintir individu termasuk remaja.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Ketagihan atau obses terhadap sesuatu bukan lagi perkara yang pelik malah tidak hanya golongan muda, tetapi ada juga yang berusia mempunyai tabiat itu.

Disebabkan obses, individu berkenaan sanggup melakukan sesuatu di luar jangkaan dan paling klise adalah berbelanja besar bagi membeli barangan kegemaran untuk dijadikan koleksi.

Lain orang, lain jenis ketagihannya cuma kebiasaannya, golongan ini mempunyai tabiat sebegitu sejak kecil.

Untuk itu, Gen Y kongsikan lima ketagihan pelik yang mungkin dilakukan dalam kehidupan seharian anda tanpa disedari:

1. KETAGIH MAKANAN PELIK

Geli dan meloyakan, namun memang wujud individu yang mempunyai ketagihan memakan makanan yang pelik dan di luar kebiasaan.

Individu sebegini termasuk dalam kategori mereka yang mempunyai masalah gangguan makanan atau pica yang menyebabkan mereka cenderung makan bahan tertentu.

Hingga kini, puncanya belum diketahui dengan jelas namun mereka yang mempunyai tabiat ini dipercayai kerana masalah anemia akibat kekurangan zat besi .

Jadi, tidak hairanlah jika ada yang sanggup memakan tanah, pasir, daun, batu kapur, puntung rokok, lampu, pensil, lilin, span pencuci dan kotoran binatang.

2. MENGUNYAH AIS

Terdapat individu yang mempunyai tabiat ini tapi tahukah anda amalan mengunyah dan memakan ais berlebihan dipanggil pagofagia.

Pagofagia ini juga satu bentuk pica iaitu masalah gangguan dan kecenderungan memakan makanan yang pelik.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS) dianggarkan kira-kira dua peratus daripada lelaki Amerika berumur 18 ke atas mempunyai ketagihan ini.

Tidak terkecuali 16 peratus wanita berumur 16 hingga 19 disahkan sebagai pengunyah ais kompulsif.

3. GILA PERMAINAN ‘GAME’

Ramai tergolong dalam kategori ini yang kebanyakannya adalah lelaki berumur bawah 30 tahun dan menariknya, mereka mempunyai komuniti tersendiri.

Kebiasaannya, mereka sanggup menghabiskan masa yang lama untuk bermain sesuatu permainan dan akan berasa gelisah jika tidak dapat melakukannya.

Ada juga yang terjebak dengan permainan ini kerana lebih selesa menghabiskan masa dengan hobi itu di rumah daripada bersosial di luar.

Meskipun punca ketagihan ini tidak jelas dan sering dikaitkan dengan hobi semata-mata, pakar kesihatan mental percaya ketagihan itu disebabkan gangguan kawalan impuls lain.

4. SUKA TARIK RAMBUT

Percaya atau tidak, wujud individu yang mempunyai masalah trichotillomania atau dalam erti kata lain keinginan untuk menarik rambut dan bulu daripada bahagian badan mereka.

Mereka yang menderita akibat gangguan ini tidak akan puas selagi belum melakukan tabiat ini dan lega apabila dapat melakukannya.

Sebahagian individu yang mengalami masalah ini juga ada kemungkinan untuk mengunyah dan memakan rambut mereka.

Masalah ini boleh diatasi dengan bertemu pakar dan sebaiknya, pertemuan itu dilakukan sejak peringkat awal lagi.

5. KEMARUK BELI-BELAH

Aktiviti ini sering kali dikaitkan dengan wanita, namun ada juga lelaki yang mempunyai ketagihan membeli-belah.

Bukan saja mempunyai kecenderungan berbelanja dalam nilai besar, tetapi mereka yang mempunyai masalah ini juga ada kalanya cuba menyembunyikan pembelian selain berasa bersalah kerana gagal mengawal ketagihan itu.

Sesi kaunseling bersama pakar antara alternatif boleh membantu individu yang mengalami masalah ini.

Selebihnya adalah sokongan daripada individu terdekat terutama keluarga atau insan tersayang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 6:00 AM