SANTAI di kafe untuk selesaikan kerja.
Shuhada Mansor
gen.y@hmetro.com.my

Dibesarkan di negara yang terkenal antara cuaca paling sejuk di dunia, Russia, Sergei Aleeve, 29, memilih New York sebagai rumah kedua untuk dia mengembangkan kerjaya sebagai arkitek jalanan.

Mungkin kedengaran agak aneh dan tidak terlalu normal, tapi kerjayanya sekarang sebagai arkitek jalanan membuatkan dia sering keluar negara untuk melihat rekaan baru serta moden di negara berbeza.

Sama ada di Eropah, Asia mahupun kini di New York, Sergei rasa bertuah kerana mampu menjalani kehidupan disukai tanpa terikat dengan waktu kerja yang tipikal.

Belajar cara ‘indie’

“Ramai yang terkejut apabila mengetahui latar belakang pengajian saya adalah sejarah, namun disebabkan sukakan model bangunan dan struktur berbeza, saya mendalami bidang arkitek cara ‘indie’, iaitu belajar sendiri.”

“Bermula sekitar umur 24 tahun saya sudah mula lukis dan membayangkan struktur bangunan, rumah atau apa saja dengan imaginasi sendiri. Segala lukisan ‘conteng’ itu saya kongsi dengan rakan dan akhirnya ada di antaranya yang mengambil saya sebagai arkitek bebas untuk syarikat mereka,” katanya.

Kata Sergei, bermula dari situ dia terus belajar dengan mengikuti kelas asas, melihat dan mengamati bangunan moden di pelbagai negara yang dikunjungi lalu diterjemahkan mengikut idea sendiri.

“Begitulah cara saya bermula dan setakat ini, sudah hampir lima tahun saya menjadi arkitek bebas dengan menjual idea dalam talian,” katanya.


ANTARA struktur bangunan kesukaannya di New York.

Berubah lokasi

Dia yang kini sudah hampir setahun berada di kota metropolitan New York sedang berusaha ‘menangkap’ pasaran di sana.

“Penduduk di sini lebih bersifat terbuka dengan idea baru tidak kiralah sama ada anda pekerja bebas, sambilan atau tetap. Apa lagi jika ia berkaitan syarikat yang baru bermula, mereka akan selalu adakan pertandingan terbuka.

“Saya beberapa kali disenarai pendek malah pernah memenangi beberapa peraduan dengan ganjaran diterima agak lumayan. Oleh itu, saya selesa dengan kerjaya sekarang,” katanya.

Ditanya kenapa dia tidak menetap di Russia, Sergei menjelaskan, dia seorang yang tidak suka berada di satu tempat sama dalam tempoh yang lama.

“Contohnya, sebelum ini, saya berada di Itali selama lima bulan sebelum berpindah ke Sweden. Saya suka bertukar lokasi supaya idea sentiasa segar. Lokasi pilihan tidak hanya kota, saya juga akan pergi ke kampung.

“Buat masa sekarang, saya menganggap diri sebagai seorang pengembara dan pada masa sama melakukan kerjaya yang disukai. Jadi, tidak ada dalam satu hari saya menyesal dan bosan dengan apa yang dilakukan,” katanya.

Katanya, walaupun pada awalnya agak susah untuk ‘menangkap’ syarikat atau mencari pelanggan, tapi sekiranya dilakukan dengan betul dan mempamerkan hasil kerja yang segar serta bagus, akan ada yang mencari karya anda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 12:35 PM