CHARISSA melancarkan buku terbarunya, Daylight Dialogues.
Redzuan Muharam

Tahun ini, usianya baru mencecah 26 tahun namun bakat Charissa Ong dalam bidang penulisan sudah terbukti menerusi kejayaan merangkul anugerah Buku Terbaik MPH 2016 dan Rekaan Muka Depan Terbaik: Kategori Fiksyen sempena Anugerah Buku Antarabangsa tahun lalu.

Malah, dalam tempoh dua tahun, Charissa sudah menulis dan menerbitkan dua buku iaitu Midnight Monologues dan terbaru, Daylight Dialogues yang baru dilancarkan serta sudah berada di pasaran.

Meskipun tidak mempunyai latar belakang pengajian dalam bidang penulisan, pengalamannya yang pernah kecundang dalam percintaan mendorongnya bergiat serius sebagai penulis.

Bertitik tolak dari situ, dia kemudian nekad menerbitkan buku puisi dan cerita pendek seterusnya menubuhkan syarikat penerbitan sendiri iaitu Penwings Publishing.

“Sejujurnya, saya bukan seorang ‚ulat buku‘ malah tidak pernah memasang impian menceburi bidang penulisan.

“Minat itu datang sendiri selepas saya putus cinta dan pada awalnya, tidak yakin bergelar penulis.

“Ia kerana apa yang saya tulis lebih kepada luahan berdasarkan pengalaman sendiri namun keluarga banyak memberi sokongan untuk serius dengan menerbitkan buku sendiri,” katanya.

Charissa berkata, dia tidak menyangka buku keluaran pertamanya, Midnight Monologues itu mendapat sambutan dan maklum balas positif daripada pembaca yang memberinya semangat untuk terus berkarya.

Menurut Charissa, cabaran itu ada namun dia cuba atasinya dengan sentiasa berfikiran positif dan tidak mudah tunduk pada tekanan.

“Kepuasan saya bukan disebabkan jumlah jualan buku atau pengiktirafan yang diterima semata-mata tetapi apabila penulisan mendapat maklum balas positif daripada pembaca.

“Paling membuatkan saya terharu apabila ada pembaca yang menghantar kiriman mesej menerusi laman sosial untuk berterima kasih kerana menganggap penulisan saya memberi inspirasi kepada mereka.

“Sebagai penulis, penerimaan pembaca amat bermakna namun perjalanan dalam bidang penulisan masih jauh dan saya akui banyak lagi yang perlu diperbaiki,” katanya.

Berkongsi perancangan dan hala tujunya, Charissa berharap usahanya itu tidak hanya memberi inspirasi kepada golongan muda tetapi semua yang mempunyai impian untuk bergelar penulis.

“Selain kepuasan, matlamat saya adalah menarik minat rakyat Malaysia menulis dan pada masa sama membaca memandangkan kadar pembacaan di negara ini boleh dikategorikan rendah berbanding di negara lain.

“Jadi, sebagai penulis, menjadi tanggungjawab saya untuk memupuk amalan itu di peringkat awal terutama dalam kalangan generasi muda.

“Sebab itu, saya lebih menjurus kepada penulisan puisi dan cerita pendek yang santai serta lebih dekat dengan mereka,” katanya yang memasang impian untuk pasarkan di pasaran antarabangsa seperti Barnes & Noble, satu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 12:19 PM