SEORANG jururawat lelaki keluar dari ambulans sambil  menggendong seorang bayi yang cedera akibat serangan meriam tentera Syria di kejiranan Hamouriyya di timur pinggir Damsyik, semalam.  - AP
SEORANG jururawat lelaki keluar dari ambulans sambil menggendong seorang bayi yang cedera akibat serangan meriam tentera Syria di kejiranan Hamouriyya di timur pinggir Damsyik, semalam. - AP
Agensi

Washington: Amerika Syarikat semalam menuduh Syria membunuh ribuan penentang dan membakar mereka untuk menyembunyikan bukti.

Tuduhan itu dibuat ketika Presiden Donald Trump menimbang tindakan selanjutnya terhadap rejim Presiden Bashar al-Assad.

Amerika Syarikat melancarkan serangan peluru berpandu terhadap sebuah pangkalan udara tentera Syria bulan lalu selepas menuduh tentera yang setia kepada Bashar membunuh puluhan orang awam dengan senjata kimia.

Dalam tuduhan semalam, Jabatan Negara Amerika Syarikat berkata, ia percaya kira-kira 50 tahanan digantung sampai mati setiap hari di penjara tentera Saydnaya, 45 kilometer ke utara Damsyik.

“Kebanyakan mayat itu kemudian dibakar bagi menyembunyi pembunuhan beramai-ramai,” kata diplomat kanan Amerika Syarikat ke Asia Barat, Stuart Jones.

Jabatan itu turut mengedarkan gambar satelit komersial menunjukkan apa yang didakwanya bangunan dalam kompleks penjara itu yang diubah suai untuk dijadikan tempat pembakaran mayat.

Pendedahan itu menyusuli laporan Amnesty International Februari lalu yang menuduh polis tentera Syria menggantung sehingga 13,000 orang sepanjang empat tahun sebelum mengangkut mayat itu dengan lori untuk dikebumikan secara beramai-ramai.

Sementara itu, di Damsyik, kerajaan Syria menyangkal dakwaan Amerika Syarikat itu dengan berkata, ia palsu semata-mata.

Dalam kenyataan yang dikeluarkannya dan disiarkan oleh agensi berita rasmi Syria (SANA), Kementerian Luar Syria berkata, pentadbiran Amerika Syarikat ‘menghasilkan satu lagi skrip untuk filem Hollywood yang jauh daripada realiti’ dengan mendakwa tempat pembakaran mayat dibina di penjara Sednaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 9:49 AM