BEG Hermes Himalaya Niloticus Crocodile Diamond Birkin 30 yang dijual pada harga RM1.62 juta. FOTO Christie's
BEG Hermes Himalaya Niloticus Crocodile Diamond Birkin 30 yang dijual pada harga RM1.62 juta. FOTO Christie's
AFP

BEG tangan Hermes diperbuat daripada kulit buaya dengan hiasan emas putih mencatatkan rekod beg tangan paling mahal selepas dijual pada harga HK$2.94 juta (RM1.62 juta) di lelongan di Hong Kong, semalam.

Jurucakap rumah lelongan, Christie’s berkata, beg Himalaya Niloticus Crocodile Diamond Birkin 30 dijual kepada pelanggan tidak mahu dikenali menerusi bidaan telefon, semalam.

Jumlah ini memecahkan rekod dicatatkan di Hong Kong untuk beg Hermes serupa yang dijual pada harga HK$2.32 juta (RM1.28 juta) di Hong Kong, tahun lalu.

Hanya satu atau dua beg Diamond Himalayas dihasilkan setiap tahun di seluruh dunia, kata Christie’s.

Beg yang dibuat dengan tangan itu dikatakan sebagai beg tangan paling dikehendaki oleh Christie’s.

Ia diselaputi berlian manakala kancing dan mangga kecil jenama Hermes pada beg itu diperbuat daripada emas putih 18 karat.

Beg itu daripada koleksi ‘Birkin’ Hermes yang dinamakan sempena pelakon dan penyanyi, Jane Birkin yang dilahirkan di Britain dan tinggal di Perancis.

Sementara itu, Ketua Bahagian Beg Tangan dan Aksesori Antarabangsa Christie’s, Matthew Rubinger berkata, Hermes dikhabarkan akan berhenti menghasilkan beg Himalaya, tahun ini.

“Mungkin itu antara punca peningkatan nilai musim ini,” katanya.

Beg tangan mewah semakin dillihat sebagai peluang pelaburan yang diburu pengumpul.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2017 @ 11:42 AM
Digital NSTP Subscribe