ANGGOTA keselamatan memeriksa lokasi letupan. - EPA
AFP

Kabul: Sekurang-kurangnya 34 orang maut dan 58 cedera selepas sebuah kereta diisi letupan merempuh bank di selatan Afghanistan, semalam.

Kejadian berlaku di Lashkar Gah ketika orang awam dan kakitangan tentera kerajaan beratur untuk mengeluarkan gaji menjelang perayaan Aidilfitri, hujung minggu ini.

Ini serangan ketiga di bank itu sejak 2014, dengan Taliban mengakui menyasarkan polis serta askar Afghanistan yang mengambil gaji. Bagaimanapun, menurut kerajaan, kebanyakan mangsa orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak.

Puluhan mangsa cedera dikejarkan ke hospital susulan serangan di Bank New Kabul, yang terbaru dalam beberapa siri kejadian seumpamanya di Afghanistan sejak Ramadan bermula.

Pada hari pertama Ramadan, 27 Mei lalu, 18 maut akibat serangan bom kereta, manakala beberapa hari kemudian 80 mati dan ratusan lagi cedera dalam serangan di Kabul.

Sementara itu, jurucakap polis Salam Afghan berkata: “Sebuah bom kereta meletup pada jam 12 tengah hari (waktu tempatan) di pintu masuk Bank New Kabul.

“Orang awam dan pegawai-pegawai ketika itu beratur di luar bank untuk mengambil gaji.”

Washington dijangka bakal mengumumkan peningkatan kerahan askarnya untuk membantu tentera Afghanistan yang berdepan kesukaran mengawal pemberontakan Taliban.

Kini kira-kira 8,400 tentera Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan, manakala 5,000 lagi daripada sekutu NATO - jumlah yang jauh kurang berbanding lebih 100,000 askar AS, enam tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2017 @ 6:25 AM