Agensi

Jakarta: Mahkamah Agung Indonesia menolak rayuan seorang wanita, Jessica Kumala Wongso untuk dibebaskan daripada hukuman penjara 20 tahun kerana didapati bersalah membunuh rakannya dengan mencampur racun dalam kopi mangsa.

Peguam Jessica berkata, pihaknya akan mengemukakan permintaan untuk satu kes semakan selepas tiga hakim Mahkamah Agung, Artidjo Alkostar, Salman Luthan dan Sumardiyatmo menolak rayuan wanita itu.

“Rayuan itu ditolak mahkamah,” kata jurucakap Mahkamah Agung, Suhadi yang dipetik tribunnews.com kelmarin.

Hakim di Mahkamah Daerah Jakarta Tengah pada 27 Oktober tahun lalu mengisytiharkan Jessica bersalah membunuh Wayan Mirna Salihin.

Wayan atau dikenali sebagai Mirna tiba-tiba pengsan sebelum meninggal dunia selepas meminum kopi dipesan Jessica di sebuah kafe di Jakarta Tengah pada 6 Januari 2016.

Pembunuhan itu mendapat liputan meluas media dan menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai motif Jessica membunuh rakan baiknya.

Keputusan itu dianggap kontroversi kerana kekurangan bukti daripada saksi yang membuktikan Jessica meletakkan racun sinida ke dalam kopi Mirna.

Hakim Partahi Tulus Hutapea berkata, keputusan hakim menggunakan bukti berdasarkan keadaan bagi menentukan Jessica bersalah adalah sah.

Katanya, Jessica memesan kopi ais Vietnam dan hanya dia yang berada dekat minuman berkenaan sebelum Mirna meminumnya.

Jessica sebelum ini mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi Jakarta tetapi rayuannya turut ditolak.

Peguam Jessica, Otto Hasibuan berkata, dia akan memfailkan permintaan untuk satu kes semakan di Mahkamah Agung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2017 @ 6:32 AM