Jakarta: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama meminta tidak diberi layanan istimewa dan kawalan ketat sepanjang dia dan keluarganya bercuti di Bali.

Jurucakap polis Indonesia, Rikwanto memberitahu, polis hanya menyediakan pengawal yang secukupnya dan tidak menutup jalan yang dilalui bekas pemimpin itu.

“Obama tidak mahu diberi layanan yang istimewa, hanya yang wajar sahaja diberikan,” katanya yang dipetik kompas.com.

Bagaimanapun, katanya, polis menyediakan seramai 446 anggota untuk melindungi Obama dan keluarganya sepanjang enam hari dia bercuti di Bali.

Obama bercuti bersama isterinya, Michelle dan dua anak perempuannya, Malia dan Sasha serta beberapa ahli keluarganya yang lain.

“Kami tetap harus membantu melancarkan urusannya. Harus dilayan dengan baik untuk keselesaan bekas pemimpin itu,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Bali, Petrus Genhard Golose memberitahu, dia berharap Obama dapat bercuti dengan tenang di Bali seperti mana yang dinikmati pemerintah Arab Saudi, Salman Abdulaziz Al Saud sebelum ini.

“Kami melakukan kawalan secara tersembunyi kerana tidak mahu mengganggu keselesaan Obama dan keluarganya,” jelasnya.

Obama tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai semalam dan semua penerbangan berjalan seperti biasa ketika ketibaan bekas pemimpin itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2017 @ 7:36 AM